KUALA TERENGGANU: Terengganu merekodkan kehadiran kira-kira 6.5 juta pelancong dengan penjanaan pendapatan dianggarkan antara RM1.4 bilion hingga RM1.5 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus adalah pelancong domestik.
Katanya, prestasi memberangsangkan itu meyakinkan kerajaan negeri bahawa sasaran sembilan juta pelancong bagi tahun ini mampu dicapai.
“Prestasi sektor pelancongan negeri menunjukkan kita berada di landasan yang tepat. Berdasarkan Survei Pelancongan Domestik 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu menerima 15.46 juta pelawat domestik tahun lalu berbanding 14.46 juta pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 6.9 peratus.
“Daripada jumlah itu, seramai 5.2 juta merupakan pelancong yang bermalam di negeri ini. Pencapaian ini membuktikan Terengganu bukan sekadar destinasi persinggahan, malah menjadi pilihan pelancong untuk menikmati pengalaman percutian yang lebih berkualiti dan tempoh penginapan yang lebih lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Digitalisasi Pelancongan Terengganu Bersama redBus Malaysia di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd. Ariffin Tengku A. Rahman.
Razali berkata, prestasi pelancongan negeri turut menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak negara beralih ke fasa pasca pandemik.
Menurutnya, jumlah pelawat domestik meningkat daripada 3.72 juta orang pada 2021, kepada 10.23 juta orang (2022), 11.76 juta orang (2023), 14.46 juta orang (2024) dan 15.46 juta orang pada 2025, sekali gus membuktikan keyakinan pelancong terhadap Terengganu terus kukuh. – UTUSAN










