Tempoh kenaikan pangkat perlu dipendekkan

Tempoh kenaikan pangkat perlu dipendekkan

PENJAWAT AWAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan memendekkan tempoh kenaikan pangkat penjawat awam daripada 13 tahun kepada satu tempoh yang lebih bersesuaian dilihat satu pendekatan yang selari dengan keperluan semasa dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Setiausaha Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) , Mohd Ridzuan Kamarulbahrain berkata, pengiktirafan terhadap prestasi dan pengalaman melalui laluan kenaikan pangkat yang lebih munasabah akan meningkatkan semangat bekerja, menggalakkan pembangunan kompetensi serta memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.

“Usaha mempercepatkan laluan kenaikan pangkat juga mampu menarik dan mengekalkan bakat dalam perkhidmatan awam, di samping mengiktiraf sumbangan pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Walau bagaimanapun, KEPTAN berharap pelaksanaan dasar ini dibuat secara telus, adil dan berasaskan merit, kompetensi serta keperluan perkhidmatan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh penjawat awam tanpa menjejaskan kualiti sistem kenaikan pangkat sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KEPTAN turut berpandangan bahawa pelaburan terhadap pembangunan kerjaya dan kebajikan penjawat awam merupakan pelaburan strategik negara

Ujarnya, penjawat awam yang bermotivasi dan dihargai akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong aspirasi Malaysia MADANI.

“KEPTAN menyambut baik cadangan ini dan berharap perincian pelaksanaan cadangan ini akan dibincangkan bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk kesatuan-kesatuan sekerja, bagi memastikan dasar yang bakal dilaksanakan benar-benar memberi impak positif kepada perkhidmatan awam,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN