Sememangnya dalam bidang bidang seni, sastera dan budaya, setiap pengkarya mempunyai objektif, strategi dan hasrat yang tersendiri bila mempersembahkannya kepada khalayak.
Dalam hal ini, mereka akan berusaha dan bekerja keras selain memberi tumpuan yang semaksimum mungkin supaya karya yang dihasilkan memberi impak optimum.
Bagi penggiat teater yang tidak asing lagi, di Kedah, Joe K.A.S atau nama sebenarnya Mohd. Zulkamal Ismail, berteater baginya adalah suatu tanggungjawab supaya apa yang disampaikan melalui tulisan dan arahannya memberi manfaat selain mendidik.

Joe K.A.S dengan buku – buku terbaharu hasil karya beliau.Beliau yang gigih menyemarakkan teater khususnya di utara tanah air, bersama ahli-ahli Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS), lebih gemar untuk mengajak penonton untuk berfikir dan membuat keputusan daripada setiap teater yang dipentaskan.
Selain itu, Joe juga telah mementaskan teater kanak-kanak hasil tulisan dan arahannya, termasuklah, Suara Rimba (2015), Kota Kuching (2016), Payung 2022) dan Pulau Kuching (2024).
Beliau memberitahu, untuk menghasilkan naskhah teater kanak-kanak, beliau perlu membuat kajian di lapangan secara pemerhatian untuk memerhati tingkah laku kanak-kanak yang sebenar.
“Teater kanak- kanak perlu lebih mudah latarnya, props yang sederhana dengan dialog yang minimum, supaya sesuai dengan tahap usia dan pemikiran mereka,” katanya.
Joe yang pernah mendapat beberapa anugerah dalam bidang teater termasuk, Anugerah Tokoh Penggiat Seni Teater Negeri Kedah 2025, baru-baru ini, berjaya mementaskan teater, Janji Presiden. di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Teater yang merupakan kesinambungan dari siri sebelumnya, Mimpi Presiden dan Dongeng Presiden itu, telah mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar, pensyarah, kakitangan UUM serta peminat teater dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Pementasan tersebut adalah anjuran bersama PENTAS dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dengan kerjasama Pusat Budaya dan Seni, UUM serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah.
Janji Presiden yang membarisi lapan watak utama, terdiri daripada Tok Ampu, Wak Nujum, Wakil Presiden, Reformais Tua, Reformais Muda, Warga 1,warga2, warga 3, itu, berkisar tentang warga Wilayah Kozambo yang mahukan pemimpin baharu.
Sementara itu, Tuan Presiden yang tidak dizahirkan watak itu di pentas, berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya penduduk hidup aman dan damai tanpa sengketa di wilayah berkenaan.
Wak Nujum juga membuat ramalan yang menyatakan kemungkinan akan hadir pemimpin baharu setelah warga wilayah tersebut mendesak supaya presiden mengundurkan diri.
Teater yang berunsur didaktik dan komentar sosial itu, dipersembahkan secara santai diiringi dengan nyanyian, dialog sinis dan lucu ini berjaya memukau khalayak untuk memberikan tumpuan sepenuhnya sehingga selesai.
Ditanya tentang kesinambungan selepas Janji Presiden, Joe memberitahu, kemungkinan akan ada yang keempatnya dengan menampilkan watak presiden di atas pentas, yang mana belum dibuat sebelum ini.
Beliau juga berharap akan mendapat peluang untuk mempersembahkan teater karya dan arahannya keliling Malaysia dan sekiranya ada penaja dapat mementaskan, Janji Presiden di Stor DBP, Kuala Lumpur.
“Selain mementaskan teater, saya juga menghimpunkan skrip teater karya, untuk dibukukan dan ada beberapa buah yang telah diterbitkan termasuklah, Kumpulan drama pentas Mimpi Presiden (ITBM), Kumpulan Drama Pentas Sepatu (DBP), Kumpulan Monodrama Sang Badut (PENA-MADANI), Antologi Drama Pentas Kanak-Kanak Kota Kucing (DBP) dan Kumpulan Drama Pentas Kanak-Kanak Semut Mulia (DBP).
“Saya juga menulis sajak dan telah menghasilkan kumpulan puisi yang terbaharu bertajuk, Senja Memeluk Matahari, di samping mendeklamasikan sajak secara berterusan bersama PENTAS di menara Alor Setar,” katanya yang telah mementaskan sebanyak 31 teater.
Setiap kali ada aktiviti sastera dan teater, Joe juga akan membuka meja untuk menjual buku-buku hasil karyanya serta dapat bersua muka dengan peminat untuk meminta maklum balas terhadap karya-karyanya.
“Menulis dan mementaskan teater telah menjadi kewajipan saya, selain minat yang mendalam untuk bersama menyemarakkan persada teater khususnya di utara tanah air,” katanya.-UTUSAN










