Tatakelola, integriti pegangan Amiruddin

Tatakelola, integriti pegangan Aminuddin

AMINUDDIN Harun (duduk kiri) yang bersikap terbuka menyebabkannya sangat dihormati dan disenangi penjawat di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejak menerajui pentadbiran Negeri Sembilan pada 2018, Datuk Seri Aminuddin Harun sering dilabel sekadar meneruskan legasi ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Pada peringkat awal kepemimpinannya, beliau berdepan tuduhan kononnya mengetepikan kepentingan masyarakat Melayu dan Islam susulan sentimen oleh pihak lawan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Namun perjalanan masa membuktikan sebaliknya, Aminuddin kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pentadbiran dengan mengutamakan pembangunan yang menyeluruh.

Hasilnya, Negeri Sembilan merekodkan pelbagai pencapaian positif, khususnya dalam pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Penasihat Agama kepada Menteri Besar, Datuk Jaafar Muhammad berkata, rahsia utama kepada kejayaan sepanjang lapan tahun pentadbiran Aminuddin adalah hubungan rapat beliau dengan ketua-ketua jabatan selain dengan rakyat.

“Pentadbiran beliau dimulakan dengan membina interaksi yang baik dengan ketua-ketua jabatan, tiada terlalu terikat, mereka diberi peluang menyatakan idea dan pandangan.

“Keadaan itu menyebabkan ketua-ketua jabatan ini sentiasa positif untuk mencapai sasaran dan objektif jabatan masing-masing. Sebab itu hubungan Menteri Besar dan Exco dengan mereka cukup rapat.

“Pada masa sama, beliau serius dan fokus ketika bekerja khususnya berkaitan tatakelola dan sentiasa memberikan nasihat-nasihat. Beliau bukan hanya memimpin malah membimbing, sebab itu beliau dihormati malah disayangi ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, Aminuddin sangat menitikberatkan hal integriti, tadbir urus yang baik dan pentadbiran yang telus.

“Pelbagai tuduhan dan dakwaan dibuat namun beliau memang tiada apa-apa kepentingan dan tiada sebarang salah guna kuasa sepanjang pentadbirannya ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman sebagai ahli jawatankuasa masjid dan sekolah agama sebelum menjadi wakil rakyat telah membentuk jiwa Aminuddin dalam terus membangunkan syiar Islam di negeri ini.

“Perkara pertama yang ditanya beliau selepas dilantik sebagai Menteri Besar, berapakah jumlah orang Islam di negeri ini dan berapa peratus yang solat lima waktu.

“Sebab itu banyak program dibuat untuk menggalakkan umat Islam ke masjid. Sebagai contoh beliau memulakan program-program mengimarahkan masjid khususnya pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, beriktikaf dan sebagainya

“Daripada aspek pembangunan fizikal keagamaan di negeri ini juga amat dititikberatkan, pembinaan masjid-masjid baharu yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri juga bertambah selain bantuan kewangan kepada masjid dan surau.

“Saya sendiri melihat daripada aspek infrastruktur dan kemudahan fizikal aspek pembangunan Islam di negeri ini juga jauh lebih baik dan selesa dibawah pentadbiran Aminuddin,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula esok, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Beliau sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, kerusi yang telah dimenanginya sejak 2008.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN