SEREMBAN: Seorang suri rumah masyarakat Orang Asli menjadi pilihan Parti Orang Asli Malaysia (Asli) sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dayana Dal, 40, seorang ibu dengan empat anak dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang yang kini disandang oleh Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, Asli akan cuba mendapatkan satu tempat di DUN negeri ini sebagai platform membawa suara masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini.
“Saya mahu membawa masyarakat Orang Asli ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita Pejabat Negeri Parti Sosialis Malaysia (PSM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Asli, Rashid Ka; Timbalan Pengerusi PSM, S. Aruthelvan dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz.
Suami Dayana, Rozali Yok Tan bekerja sebagai penoreh getah manakala anak pasangan itu berusia antara setahun hingga 12 tahun.
Sementara itu, Rashid memberitahu, kekalahan aww dalam persaingan kerusi DUN Endau dalam PRN Johor baru-baru ini tidak mematahkan semangat Asli untuk terus bertanding dalam pilihan raya di negeri ini.
Menurutnya, masyarakat Orang Asli berharap dapat bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri terutamanya dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah yang sering dihadapi oleh kaum itu.
“Rata-rata Orang Asli masih berdepan masalah tanah adat yang diceroboh atau dirampas oleh pihak-pihak tertentu.
“Dengan penyertaan di DUN, suara kami dapat didengar dengan lebih jelas dan tindakan dapat diambil,” katanya.
Tambahnya, terdapat lebih 1,000 pengundi masyarakat Orang Asli di DUN Jeram Padang. – UTUSAN










