SPRM pertahan integriti, profesionalisme siasatan

SPRM pertahan integriti, profesionalisme siasatan

ABD HALIM Aman ketika program podcast SPRM hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus mempertahankan profesionalisme, ketelusan dan integritinya meskipun berdepan persepsi serta prasangka negatif terhadap siasatan yang dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, persepsi sedemikian tidak boleh dijadikan alasan untuk SPRM berasa gentar selagi setiap siasatan dilaksanakan mengikut undang-undang, prosedur dan landasan yang betul.

“Kita perlu membuktikannya melalui tindakan dan hasil kerja. Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Dalam sesuatu siasatan, pihak yang terlibat mungkin tidak berpuas hati dan membentuk persepsi negatif. Itu hak mereka, tetapi jika kita menjalankan tugas mengikut undang-undang, prosedur dan landasan yang betul, kita tidak perlu takut atau gentar.

“Kita mesti melaksanakan amanah dengan ikhlas, jujur dan penuh komitmen. Persepsi akan sentiasa wujud, tetapi keyakinan terhadap integriti proses dan profesionalisme pegawai perlu dipertahankan,” katanya

Mengulas mengenai individu yang mengulas atau mempertikaikan siasatan SPRM sebelum prosesnya selesai, Abd. Halim berkata, setiap individu berhak menyuarakan pandangan, namun hak tersebut mempunyai batas tertentu.

Katanya, masyarakat perlu berhati-hati apabila memberikan komen terhadap kes yang masih dalam siasatan supaya ia tidak dilihat sebagai mencampuri, mempengaruhi atau memprejudiskan siasatan.

“Hak menyuarakan pendapat ialah hak setiap individu, tetapi setiap hak mempunyai batas.

“Apabila sesuatu kes masih disiasat, masyarakat perlu berhati-hati supaya komen tidak dilihat sebagai mencampuri, mempengaruhi atau memprejudiskan siasatan.

“Seksyen 48 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan yang menghalang atau mencampuri penyiasatan. Oleh itu, berikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan tugas,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN