PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Property (KLGCC Resort) Sdn. Bhd. mengumumkan cadangan pengambilalihan Wisma Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) pada pertimbangan pembelian RM160 juta.
Aset berkenaan dibeli daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi penerimaan Surat Tawaran yang mengikat, sekali gus menandakan kemunculan sulung gergasi hartanah itu dalam pasaran sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC).
Terletak di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 0.59 hektar di sepanjang Jalan Tun Razak, aset semasa itu merangkumi bangunan pejabat 15 tingkat bersama satu aras tempat letak kereta bawah tanah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pengambilalihan tersebut menjadi batu penanda penting bagi syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam koridor strategik Jalan Tun Razak-KLCC.
“Kawasan ini, yang kami berhasrat untuk bangunkan semula menjadi pembangunan bercampur bersepadu premium, akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran kami dalam membangunkan projek berorientasikan gaya hidup seperti KLGCC Resort.
“Langkah ini meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk menyampaikan pembangunan tersendiri yang mencerminkan prestij lokasi ini, di samping mengukuhkan lagi kehadiran kami dalam segmen mewah,” katanya dalam kenyataan.
Tertakluk kepada kelulusan pelan pembangunan, kumpulan merancang untuk membangunkan semula aset tersebut dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) mencecah RM900 juta yang disasarkan lancar pada 2026 dan siap dalam tempoh lima tahun.
Projek baharu itu dijangka mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan di lokasi tumpuan Kuala Lumpur, menyusuli kejayaan pelancaran projek terdahulu seperti Jendela Residences dan The Ophera di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC).
Dari segi ketersambungan, tapak tersebut terletak strategik di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, serta menawarkan akses mudah melalui Stesen LRT Ampang Park dan Stesen MRT Ampang Park.
Ia juga berada dalam ekosistem bandar matang berhampiran tanda tempat antarabangsa, kedutaan, serta pusat perubatan dan pusat beli-belah terkemuka seperti Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur dan The Exchange TRX.
Pembangunan bercampur yang dicadangkan itu dijangka menarik minat pasaran sasaran mewah termasuk golongan profesional, individu bernilai bersih tinggi, ekspatriat, serta pelabur asing.
Pengambilalihan ini juga menandakan langkah ke hadapan dalam transformasi Sime Darby Property di bawah strategi SHIFT32 untuk menyokong peluasan portfolio jangka panjang serta pertumbuhan hasil dan keuntungan yang mampan. – UTUSAN










