PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini, dipacu oleh prospek pertumbuhan ekonomi negara yang masih baik.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor luaran yang dipacu oleh permintaan industri semikonduktor serta industri minyak dan gas dan kelapa sawit, di samping permintaan domestik yang stabil.
Katanya, ini menunjukkan bahawa dasar monetari semasa adalah bersesuaian dan mampu untuk menggalakkan pertumbuhan.
“Pengekalan OPR akan membantu dalam menstabilkan kos pembiayaan dan perkara ini seharusnya membantu dalam menggalakkan pertumbuhan pelaburan swasta dan juga penggunaan dikalangan isi rumah.
“Hala tuju OPR banyak dipengaruhi oleh faktor domestik seperti pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi negara. Kedua-dua faktor ini masih stabil dan tidak memerlukan campur tangan BNM,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kali terakhir bank pusat melaraskan OPR adalah pada Julai 2025 apabila kadar diturunkan daripada tiga peratus sebagai langkah awal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi cabaran luaran.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, BNM diunjurkan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus sehingga penghujung tahun 2026.
Menurutnya, landskap makroekonomi tidak memberikan justifikasi yang kukuh sama ada untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah.
“Walaupun inflasi menunjukkan sedikit peningkatan, ia lebih banyak dipengaruhi oleh faktor penawaran seperti kenaikan harga tenaga akibat ketegangan geopolitik, bukannya permintaan domestik yang terlalu tinggi.
“Oleh itu, menaikkan kadar faedah tidak akan menyelesaikan punca inflasi tersebut. Pada masa yang sama, pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, pasaran buruh masih stabil dan inflasi asas terus terkawal,” ujarnya.
Tambahnya, BNM dijangka terus mengambil pendekatan yang pragmatik dan berpandangan jauh dan bukannya bertindak balas secara reaktif terhadap turun naik data jangka pendek.
“Memandangkan kami menjangkakan OPR dikekalkan, impaknya terhadap pasaran saham adalah secara keseluruhannya positif kerana ia memberikan kepastian kepada pelabur dan sektor korporat.
“Bagi sektor perbankan, kadar faedah yang stabil membantu mengekalkan margin keuntungan pada paras yang sihat tanpa meningkatkan risiko kelembapan permintaan kredit.
“Bagi sektor hartanah, kadar pembiayaan yang tidak berubah memberi keyakinan kepada pembeli rumah serta pemaju untuk meneruskan pelaburan dan pembangunan projek.
“Sektor pengguna turut mendapat manfaat kerana kos pembiayaan isi rumah kekal stabil, sekali gus menyokong perbelanjaan domestik yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malay,” jelasnya.
Beliau berkata, kebarangkalian perubahan OPR pada tahun ini adalah rendah kerana Malaysia berada dalam kedudukan yang agak seimbang.
“Pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh sekitar 4.6 peratus, inflasi masih terkawal sekitar 2.0 peratus, manakala pasaran buruh terus menunjukkan daya tahan. Persekitaran ini membolehkan BNM mengekalkan pendirian dasar monetari semasa,” katanya. – UTUSAN










