PORT DICKSON: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebuah lagi kapal milik Petronas yang berjaya melalui Selat Hormuz akan dijangka tiba di Melaka pada awal Ogos ini.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Menurutnya, kapal yang bertolak dari Yanbu, Arab Saudi itu kini sedang dalam pelayaran menuju ke Malaysia.
“Semalam, Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Taufik memaklumkan kepada saya satu lagi kapal Petronas yang bertolak dari Yanbu, Arab Saudi melalui Laut Merah telah diberi kelulusan dan dijangka sampai di Melaka pada awal Ogos, Alhamdulillah.
“Ini menunjukkan dasar luar negara perlu dilaksanakan secara bijaksana,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2026 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Beliau menambah, hubungan baik Kuala Lumpur bersama Tehran itu amat membantu dalam memastikan bekalan minyak negara tidak terjejas teruk seperti negara lain susulan konflik di Asia Barat itu.
“Apa jua masalah rakyat tidak harus terbeban, apa saya nafikan semuanya beres? Tidak.
“Diantara masalah kos sara hidup masih terbelenggu walaupun harga minyak diturunkan, harga baja untuk kelapa sawit, kawasan Felda, Petani dan nelayan, harga barang keperluan semua naik melambung tinggi kerana sekatan di Selat Hormuz.
“Nasib baik hubungan kita dengan Iran baik, kita jaga hubungan dengan Amerika Syarikat, bila disekat kapal Petronas pada beberapa bulan lalu.
“Hubungan kita menyebabkan mudah saya telefon Presiden Iran setelah menyatakan simpati, saya minta dia lepaskan kapal Petronas diantara kapal pertama yang dilepaskan yang sekarang sudah sampai ke Pengerang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tetap tidak akan membenarkan mana-mana warga Israel memasuki negara ini selagi kekejaman terhadap rakyat Palestin berterusan.
“Malaysia ialah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak akan mengizinkan pembunuh Israel bertapak di Malaysia.
“Kita berkawan dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat dan China, namun dalam soal maruah, kedaulatan dan kemanusiaan, pendirian Malaysia tetap tegas,” katanya. – UTUSAN










