KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu beliau telah diberikan satu senarai mengandungi nama 54 syarikat kontraktor daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 November 2020.
Bagaimanapun, pada mesyuarat jemaah menteri itu, kaedah perolehan berkaitan Program Jana Wibawa tidak dibincang dan ditetapkan secara spesifik di mesyuarat Jemaah Menteri.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hanya membincangkan program Jana Wibawa secara dasar sebagai salah satu intipati Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan perolehan Kerajaan,”katanya.
Tambahnya, senarai nama itu dilampirkan dalam surat ‘Cadangan Pelantikan Lima Puluh Empat (54) Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan Lima Puluh Empat (54) Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina)’.
“Surat ini adalah surat cadangan daripada Tan Sri Mahiaddin Yassin yang dikeluarkan kepada saya untuk melantik 54 buah syarikat ini secara rundingan terus bagi setiap projek-projek yang telah ditentukan oleh beliau. Pada perenggan 3 surat ini adalah arahan YAB Perdana Menteri agar Kementerian Kewangan segera mempertimbangkan cadangan yang beliau kemukakan.
“Saya tidak tahu daripada mana Tan Sri Mahiaddin Yassin mendapat nama-nama 54 buah syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini. Saya juga tidak tahu bagaimana nama 54 syarikat boleh disenaraikan di dalam surat ini.
“Saya sahkan 54 buah syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini bukan datang daripada saya dan Kementerian Kewangan. Saya juga tiada pengetahuan sama ada syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin ini mempunyai kepentingan dengan beliau kerana beliau tidak pernah memaklumkan kepada saya.
“Tan Sri Mahiaddin juga tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan pada surat ini,”ujar Tengku Zafrul.
Beliau masih lagi membaca penyata saksinya selaku saksi pendakwaan ke-11 dalam dalam perbicaraan kes Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,79, yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.-UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MEYUSUL










