Saya tidak kejar anugerah, yang penting orang suka lakonan saya - Gambit Saifullah - Utusan Malaysia

Saya tidak kejar anugerah, yang penting orang suka lakonan saya – Gambit Saifullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Gambit Saifullah, tidak pernah terkilan atau mengejar sebarang pengiktirafan, meskipun bakat kualiti lakonannya sering menjadi bualan ramai yang menyifatkan dia selayaknya mendapat penghargaan lebih tinggi.

Gambit atau Mohd Saifullah Rosli, 41, berkata, kepuasan utama sebagai seorang pelakon adalah apabila karya dan penampilannya mampu memberi kesan mendalam kepada jiwa penonton.

Menurutnya, setiap pelakon mempunyai keutamaan tersendiri dalam kerjaya sama ada mengejar populariti, wang ringgit, mahupun pencapaian peribadi.

“Sebagai seorang pelakon, antara kepuasan yang paling maksimum bagi saya adalah apabila saya dapat berkongsi dan menyentuh perasaan penonton. Perkara ini sangat subjektif kerana mungkin ada pelakon yang mengejar populariti, kewangan, atau hal lain.

“Bagi saya, tiada yang betul atau salah. Saya memilih berdasarkan apa yang saya mahukan dan saya menghargai semua sokongan yang diberikan, namun saya tidak pernah mengharapkan ganjaran sedemikian,” katanya.

Gambit berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Malam Gala Mojoku Hilang! di TGV, KLCC pada Isnin.

Mengulas lanjut, Gambit menegaskan dia lebih selesa memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan berbanding memikirkan babak atau impak yang tidak memberi nilai tambah kepada persembahannya.

“Pada akhirnya, perkara yang paling penting adalah saya jujur dengan diri sendiri serta kepada Tuhan. Jadi saya cuma terus melangkah dan bekerja.

“Walaupun ada hantaran atau perbincangan mengenainya di media sosial, saya tidak pernah membiarkan perkara tersebut mengganggu fokus atau hala tuju saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, filem Mojoku Hilang! merupakan sebuah naskhah romantik komedi yang menggabungkan elemen cinta, harapan, pengorbanan dan realiti kekuatan kehidupan komuniti kampung yang sentiasa ada untuk satu sama lain.

Untuk rekod, filem ini menjadikan negeri Perlis sebagai latar sinematografi utama yang menambah keindahan visual dan identiti tersendiri kepada penceritaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN