Saya sedar ruang dan sedar diri, kini saya aktif hasilkan kandungan media sosial bersama suami - Tash Yong - Utusan Malaysia

Saya sedar ruang dan sedar diri, kini saya aktif hasilkan kandungan media sosial bersama suami – Tash Yong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Tash Yong memilih untuk kekal aktif mencipta kandungan media sosial bagi memastikan namanya tidak terus tenggelam dan hilang daripada radar industri hiburan.

Tash atau Nur Natasha Shazlia Rosli, 36, berkata, dia menyifatkan kerjayanya kini agak perlahan, namun dia memilih untuk menghasilkan kandungan media sosial supaya boleh bekerja mengikut masa dan tenaganya sendiri.

Tash juga tidak ralat membiarkan fokusnya beralih daripada skrin TV memandangkan landskap industri hiburan masa kini sudah mula bersebati dengan dunia media sosial.

“Saya memilih untuk terus aktif dengan menghasilkan video kandungan kreatif secara kolaborasi. Sekarang saya rasa diri saya terapung, bukannya tenggelam.

“Malah saya tengok industri hiburan sendiri pun sudah berubah ke arah dunia media sosial dan kedua-duanya saling melengkapi. Jadi, jika orang kata saya tidak kisah nama tenggelam, sebenarnya saya tidak ambil pusing sebab saya masih ada di platform digital,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Tash lagi, perubahan ke dunia digital ini memberikan ruang untuknya mengatur komitmen harian secara fleksibel tanpa perlu meletakkan bebanan melampau pada fizikalnya.

“Mahu merancang lebih-lebih pun saya takut nanti akan menghampakan diri sendiri jika tidak dapat dilaksanakan. Banyak perkara dalam senarai tugasan saya, tetapi kapasiti badan dan tenaga saya memang sangat lemah ketika ini.

“Sebab itu saya tidak mahu memaksa diri mengambil semua tawaran untuk kekal relevan sehingga akhirnya menyusahkan orang lain. Sekarang ini saya berserah soal rezeki kepada Allah SWT,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tash kini lebih banyak meluangkan masa di belakang tabir bagi mengendalikan operasi agensi TikTok bersama suaminya.

“Perjalanan saya ketika ini adalah lebih banyak fokus kepada dunia media sosial dan berada di balik tabir bagi menyokong agensi TikTok milik suami. Kami melatih hos penstriman langsung serta mengajar pencipta kandungan baharu tentang cara membina penjenamaan peribadi masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN