JELEBU: Sasaran Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi 22 hingga 24 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mungkin beralih kepada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak banyak iaitu hanya 36 kerusi.
“Kerusi DUN di Negeri Sembilan ini tidak banyak, kita ada 36 sahaja. Mungkin sasaran PH itu akan berpindah kepada kami (BN),” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pekan Simpang Pertang, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyasarkan jumlah kerusi hingga 24 DUN untuk dimenangi untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, BN mengambil serius teguran Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang belum puas hati terhadap prestasi jentera parti di Negeri Sembilan dan mengarahkan semua calon serta jentera meningkatkan gerak kerja menjelang hari pengundian.
Katanya, perkara berkenaan sudah diambil perhatian dan tindakan susulan telah dilakukan.
“Saya juga telah mengingatkan semua calon kita terutama semua rakan-rakan jentera di peringkat akar umbi, di peringkat pusat daerah mengundi (PDM), jentera Pemuda, Wanita dan Puteri, apatah lagi gandingan jentera kita daripada Perikatan Nasional (PN).
“Perkara itu saya ambil serius dan memberikan perhatian. Saya juga telah panggil serta-merta semua calon untuk meningkatkan prestasi jentera khususnya bagi memastikan setiap pengundi dan semua kawasan yang perlu kita beri perhatian diambil tindakan,” katanya.
Tambah beliau, baki tempoh kempen yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pihak.
“Kita ada berbaki lagi sekitar 10 hari daripada sekarang dan kena gunakan semaksimum mungkin bagi hari-hari terakhir kempen ini untuk melakukan sebaik mungkin,” katanya.-UTUSAN










