SARA bantu rakyat jalani kehidupan lebih baik

SARA bantu rakyat jalani kehidupan lebih baik

SITI Masita Sabyumin (kiri) dan adiknya, Siti Norliza memilih barangan yang dibeli dengan wang Sara di sebuah kedai di pekan Linggi dekat Port Dickson hari ini.UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterajui pentadbiran kerajaan Madani telah membantu rakyat di negara ini termasuk di luar bandar menjalani kehidupan dengan lebih baik setiap bulan.

Tinjauan Utusan Malaysia di pekan Linggi di sini mendapati wang sebanyak RM100 yang disalurkan setiap bulan itu telah dimanfaatkan oleh para penerima untuk membeli barangan keperluan sekali gus meringankan beban perbelanjaan.

Ibu kepada empat orang anak, Siti Masita Sabyumin, 63, berkata, setiap bulan beliau akan menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan dapur seperti minyak masak, susu, gula dan sardin.

Beliau yang tinggal di Kampung Kundur Hulu dekat Pedas, Rembau memberitahu, ia mampu mengurangkan belanja dapur dan wang yang diperoleh dari sumber lain boleh digunakan untuk belanja lain.

“Saya berasa lega malah berharap kadar pemberian ini dapat dinaikkan oleh kerajaan Madani,” katanya.

Perkara yang sama turut dikongsi adiknya, Siti Norliza Sabyumin, 57, yang menggunakan sumbangan kerajaan Madani itu untuk membeli barangan keperluan dapur setiap bulan di kedai dekat pekan Linggi.

Jelasnya, sumbangan itu sangat membantu menjalani kehidupan harian apatah lagi beliau tidak bekerja.

“Saya boleh beli macam-macam barangan menggunakan wang SARA,” katanya.

Sementara itu, pembantu kedai makan, Mohammad Abdullah Abdullah, 40, berkata, wang sebanyak RM100 itu digunakan untuk membeli keperluan utama untuk dapur manakala gaji sebanyak RM1,500 daripada pekerjaan boleh digunakan untuk tujuan lain.

“Langkah yang dibuat kerajaan Madani ini adalah bagus dan manfaat ini kami gunakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Bekas pemandu lori, Kwong Wah, 54, memberitahu, beliau menggunakan wang SARA untuk membeli makanan dan sabun mandi serta pencuci pakaian.

“Wang ini bagus untuk orang seperti kami yang tinggal di kawasan kampung.

“Dengan menggunakan kad pengenalan, saya akan datang ke kedai di pekan dan membeli barangan keperluan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN