Saman fitnah Saifuddin Nasution terhadap netizen dibenarkan

Saman fitnah Saifuddin Nasution terhadap netizen dibenarkan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan saman fitnah oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap pengguna media sosial, Muhammad Zubair Ismail berhubung isu politik negeri Kedah dan Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman FC.

Ia selepas Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee menolak permohonan Muhammad Zubair selaku defendan untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Saifuddin Nasution.

Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan kepada plaintif selepas defendan gagal mengemukakan pembelaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut penghakiman yang dibuat oleh Hakim Mohammad Johan pada 30 Jun lalu, defendan gagal memfailkan pembelaan bagi membolehkan saman fitnah berkenaan diteruskan dengan perbicaraan.

“Oleh kerana defendan gagal mengemukakan pembelaan yang meyakinkan untuk dibicarakan selepas mengabaikan mekanisme penyampaian ganti, mahkamah menolak permohonan ini dan defendan diperintahkan membayar kos RM8,000 kepada plaintif,” katanya.

Mohammad Johan turut menyatakan Muhammad Zubair tidak melampirkan draf penyataan pembelaan bersama permohonannya, sekali gus gagal menunjukkan secara jelas asas pembelaan yang ingin dikemukakan sekiranya penghakiman diketepikan.

Tambahnya, mahkamah turut mendapati afidavit defendan mengandungi percanggahan apabila beliau mendakwa kenyataan diterbitkan adalah benar, tetapi pada masa sama menyatakan tidak dapat mengingati atau mengesahkan kandungan hantaran kerana peranti miliknya dirampas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain akaun media sosialnya disekat.

“Mahkamah berpendapat seseorang tidak boleh mendakwa sesuatu kenyataan adalah benar jika pada masa sama menyatakan tidak mengetahui kandungan sebenar yang diterbitkan.

“Mahkamah juga menolak hujahan defendan bahawa beliau tidak pernah menamakan Saifuddin Nasution secara khusus dalam hantaran berkenaan.

“Identiti plaintif dapat dikenalpasti dengan jelas melalui poster yang memaparkan wajahnya selain penggunaan gelaran ‘Pudin’ atau ‘Pudin Pokka’ dalam beberapa video yang dikaitkan dengan konteks politik Kedah.

“Mahkamah berpendapat pengecaman secara visual dan penggunaan gelaran yang difahami umum sudah memadai untuk mengenal pasti plaintif bagi tujuan tindakan fitnah,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk S. N. Nair ketika dihubungi media berkata, dengan keputusan itu, penghakiman ingkar kekal sah, berkuat kuasa dan mengikat pihak-pihak.

“Kes ini kini akan diteruskan ke peringkat taksiran ganti rugi, bagi membolehkan mahkamah menentukan jumlah ganti rugi yang layak diberikan kepada plaintif selaras dengan penghakiman ingkar kehadiran yang telah diperoleh.

Saifuddin Nasution memfailkan saman fitnah itu selepas defendan menerbitkan beberapa hantaran dan video berunsur fitnah di Facebook dan TikTok pada Mac 2025 yang mendakwa plaintif melakukan salah laku berkaitan politik negeri Kedah dan kelab bola sepak KDA FC.

Peguam plaintif telah cuba membuat serahan pernyataan tuntutan secara sendiri kepada defendan sebanyak dua kali, iaitu pada 15 Mei 2025 dan 25 Jun 2025, namun kedua-dua cubaan gagal.

Plaintif kemudian memohon kepada mahkamah dan dibenarkan untuk menyerahkan dokumen melalui penyiaran notis di akhbar serta menampalnya di papan kenyataan Mahkamah Tinggi.

Oleh kerana defendan masih tidak memberikan maklum balas atau hadir ke mahkamah selepas syarat undang-undang ini dipenuhi dan selepas permohonan oleh plaintif, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar terhadapnya pada 8 Disember 2025.

Pada 19 Mac 2026, defendan mendakwa beliau baru mengetahui mengenai penghakiman melalui laporan akhbar dan kemudiannya pada April 2026, memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu supaya beliau boleh membela diri.

Defendan menghujahkan beliau tidak pernah menerima dokumen mahkamah itu dan mendakwa hantaran media sosialnya adalah benar atau suatu komen yang adil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN