Saksi sahkan beri RM1 juta kepada Bersatu

Saksi sahkan beri RM1 juta kepada Bersatu

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Nepturis Sdn. Bhd., Mohd. Rizman Akum Khan mengesahkan ada menyediakan dan menandatangani cek berjumlah RM1 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Wang itu dikaitkan dengan salah satu pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM1 juta daripada syarikat Nepturis bagi milik parti Bersatu.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, cek tersebut disediakan pada 16 Februari 2022 atas arahan ahli perniagaan, Lian Tian Chuan atau dikenali sebagai TC Lian.

“Saya sahkan cek ini adalah pembayaran yang dibuat kepada Bersatu berjumlah RM1 juta. Saya sahkan saya yang menandatangan pada ruang tandatangan cek ini. Saya sahkan ini adalah tandatangan saya sendiri.

“Setelah saya menyediakan dan menandatangani cek ini, saya telah serahkan cek ini kepada Lian (Tan Chuan) semula,” katanya membaca pernyataan saksi.

Bagaimanapun ketika menjawab soalan peguam mewakili Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad, dia memberitahu tujuan pemberian wang berkenaan tidak diketahui kerana hanya bertindak mengikut arahan Tan Chuan yang juga bekas pemilik Nepturis.

Amer Hamzah: Jadi kalau lihat pada perenggan 20 ini, apabila kamu kata, Nepturis ada buat pembayaran kepada parti Bersatu sebanyak RM1 juta, boleh saya katakan ini bukan duit rasuah?

Mohd. Rizman: Saya tidak pasti, hanya Tan Chuan boleh menjawab.

 

Amer Hamzah: Kamu tidak pasti? Sebelum kamu buat pembayaran, kamu tidak membuat kepastian?

Mohd. Rizman: Saya bertindak atas arahan Tan Chuan.

Saksi itu turut memaklumkan persoalan sama ada wang RM1 juta yang disalurkan kepada Bersatu itu adalah sumbangan atau imbuhan hanya boleh dijawab oleh Tan Chuan.

Dalam pada itu, menjawab soalan semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu menjelaskan sumbangan merujuk kepada derma manakala imbuhan pula adalah balasan terhadap sesuatu pertolongan atau sebagai tanda membalas budi.

Namun, apabila ditanya sama ada wang RM1 juta yang disalurkan itu merupakan sumbangan atau imbuhan, Mohd. Rizman menegaskan hanya Tian Chuan mampu menjawab persoalan tersebut.

Pada prosiding sebelum ini, seorang lagi pengarah syarikat, Aliza Abdul Malek yang juga Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis berkata, syarikat itu diperoleh daripada Tan Chuan pada 2018, pegangan saham sebanyak 50 peratus bagi setiap seorang (Aliza dan Mohd. Rizman).

Bagaimanapun, hari ini Mahkamah Tinggi didedahkan bahawa Tian Chuan juga mempunyai kepentingan dalam syarikat itu walaupun namanya tidak disenaraikan sebagai pemegang saham dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kata Mohd. Rizman, pemilikan sebenar syarikat menunjukkan Tian Chuan memiliki 30 peratus kepentingan manakala beliau dan Aliza masing-masing memegang 35 peratus saham.

Menjawab pertanyaan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin berhubung perkara itu, Mohd. Rizman menjelaskan ia merupakan strategi perniagaan bagi memudahkan syarikat berstatus bumiputera memperoleh projek kerajaan.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat antaranya Nepturis dan Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.

Bagi pertuduhan kelima hingga tujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena bersambung 27 Julai ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN