KUALA TERENGGANU: Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas dua motosikal terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar berhampiran Simpang Empat, Kampung Buluh Gading, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.50 pagi.
Katanya, dua motosikal terbabit adalah sebuah Yamaha RXZ yang terbakar kira-kira 80 peratus dan sebuah skuter yang tidak dapat dikenal pasti jenis serta nombor pendaftarannya, terbakar 100 peratus.
“Ketika anggota bomba tiba di lokasi pada pukul 12 tengah hari, kebakaran kedua-dua motosikal berkenaan sudah dipadamkan oleh orang awam menggunakan semburan air paip.
“Seorang lelaki dewasa yang menunggang motosikal RXZ mengalami kecederaan di bahagian tangan manakala penunggang skuter iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki turut cedera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, wanita dan kanak-kanak berkenaan kemudian dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, anggota bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan tiada risiko berlaku nyalaan semula.
“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berlaku akibat kemalangan jalan raya,” katanya.










