KUALA LUMPUR: Akibat mengikut nafsu serakah, seorang bapa warga Indonesia tergamak merogol anak perempuannya berulang kali sehingga mangsa mengandung dan melahirkan seorang anak perempuan.
Tidak cukup dengan itu, ketika anak hasil hubungan terlarang itu berusia empat tahun, lelaki berusia 56 tahun itu bertindak mencabul kanak-kanak itu.
Hari ini, lelaki yang bekerja sebagai pemandu itu menerima padah akibat perbuatannya itu apabila dihukum penjara 60 tahun dan sebat 60 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Walaupun berusia melebihi umur 50 tahun, tertuduh tidak terlepas dengan hukuman sebat tersebut kerana membabitkan kesalahan sumbang mahram, namun hanya perlu menjalani sebat 24 kali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan mencabul kanak-kanak itu, tertuduh tidak mengaku bersalah dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Ogos ini.
Bagi kesalahan merogol, lelaki itu telah merogol anak kandungnya di sebuah unit kediaman di Taman Midah di sini, di antara pukul 9.30 malam, 2 Oktober 2021 dan 3.32 petang, 30 Jun lalu.
Mangsa yang merupakan anak daripada perkahwinan terdahulu didapati mengandung selepas dirogol buat kali pertama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan minimum 10 kali.
Mengikut fakta kes, mangsa pertama kali dirogol pada 2 Oktober 2021 ketika tinggal berdua di rumah sebelum perbuatan itu berulang sebanyak lima kali di lokasi sama sehingga Jun tahun ini.
Bapa itu juga mengugut supaya anaknya itu tidak menceritakan kejadian sebenar kepada ibu tirinya atau mana-mana individu lain.
Laporan analisis kimia ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kemudian mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan anak perempuannya.
Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh yang telah menetap di negara ini selama 43 tahun sebagai pengajaran mengambil kira hubungan tertuduh sebagai bapa kandung selain kesan kesalahan itu kepada mangsa.
“Mangsa telah mengalami satu kemurungan yang melampau sehingga tidak mampu untuk bertahan dengan kejadian ini yang telah berulang kali berlaku sehingga mangsa juga menyatakan tidak mampu untuk mengira berapa kali ayah telah merogol, sebanyak ratusan kali.
“Mangsa pernah berniat untuk membunuh diri, namun membatalkan niat itu apabila memikirkan anaknya yang berusia empat tahun.
“Sebelum ini, tertuduh ini juga telah dipertuduhkan untuk kes pencabulan terhadap anak mangsa yang berusia empat tahun,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah memberikan hukuman ringan.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan agar hukuman penjara itu berjalan secara berasingan berkuat kuasa 23 Julai lalu. – UTUSAN







