SEREMBAN: Langkah proaktif Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan projek penyelenggaraan jajaran sungai sejak 2022 terbukti memberi impak positif, apabila masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk khususnya di Ampangan semakin terkawal.
Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim berkata, inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja membersih, mendalamkan dan menyelenggara aliran sungai.
Beliau berkata, penyelenggaraan Sungai Batang Penar yang merentasi kawasan Ampangan sebelum bercantum dengan Sungai Linggi merupakan antara langkah paling penting kerana kebanyakan kejadian banjir sebelum ini berpunca daripada sungai yang cetek serta tidak diselenggara secara berkala.
“Masalah utama di Ampangan adalah banjir. Kawasan ini dilalui Sungai Batang Penar dan apabila aliran sungai tidak diselenggara dengan baik, ia menjadi antara punca berlakunya limpahan air ketika hujan lebat.
“Sebab itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan program penyelenggaraan jajaran sungai secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Nazri berkata, pelaksanaan kerja penyelenggaraan itu dipertanggungjawabkan kepada YNS Management Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik kerajaan negeri.
Katanya, pendekatan yang digunakan turut memberi nilai tambah apabila kontraktor dibenarkan mengeluarkan pasir dari sungai sebagai sumber hasil, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Konsep ini memberi manfaat kepada semua pihak. Sungai dapat diselenggara dengan baik tanpa membebankan kerajaan negeri manakala hasil jualan pasir membantu menampung kos operasi,” katanya.
Beliau berkata, hasil pelaksanaan program tersebut, kejadian banjir yang dahulunya kerap berlaku terutama sekitar 2019 dan 2020 kini semakin berkurangan.
Katanya, kejayaan itu turut diperkukuh menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan melibatkan kerja-kerja mendalam dan memperbesarkan sungai untuk mengelakkan banjir kilat di kawasan berisiko tinggi di Ampangan.
Jelasnya, RTB merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi (Fasa 5) di bawah JPS dengan peruntukan lebih RM101 juta.
Katanya, Pejabat DUN Ampangan terus bekerjasama dengan ketua kampung, JPS dan Majlis Bandaraya Seremban bagi mengenal pasti lokasi yang masih memerlukan penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN










