PETALING JAYA: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi detik penting buat negara untuk mendedahkan hakikat penyelewengan sebuah institusi amanah umat Islam.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, laporan RCI itu juga menjadi noktah kepada episod hitam pengurusan institusi itu serta permulaan kepada TH yang lebih telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.
Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui kebenaran memandangkan setiap ringgit yang disimpan di TH ialah hasil titik peluh dan jerih payah rakyat biasa untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.
“Mesti ditegaskan bahawa setiap ringgit yang disimpan di institusi tersebut bukan wang lebihan. Malah, ia hasil daripada menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi, berniaga kecil-kecilan serta bermacam lagi jerih payah rakyat biasa dengan satu impian besar, iaitu menjadi tetamu Allah.
“Justeru, apabila amanah sebesar itu diperlakukan dengan cuai, yang dikhianati bukan semata-mata imej sebuah institusi, tetapi harapan dan doa jutaan umat Islam yang menyimpan dengan sabar bertahun-tahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia mendedahkan laporan tu bagi menjawab dakwan berkaitan penjualan aset strategik TH pada tahun 2018.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, isu berkenaan bukan masanya untuk menutup kelemahan, mempertahankan imej mana-mana pentadbiran terdahulu atau melindungi mana-mana individu atau kelompok yang terbabit.
Beliau berkata, Kerajaan Madani memilih untuk mendedahkan kebenaran berhubung perkara itu meskipun sedar terdapat pihak yang lebih selesa jika episod hitam berkenaan terus tersimpan dan dilupakan rakyat.
“Tetapi kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah pun berlaku. Lantaran itu, tugas kita sekarang adalah memastikan mereka yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
“Semoga laporan RCI ini menjadi noktah kepada episod hitam tersebut dan menjadi permulaan kepada sebuah institusi Tabung Haji yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar berpaksikan kepentingan umat Islam,” katanya. – UTUSAN










