Rakyat pilih durian atau nanas sebagai buah kebangsaan

Rakyat pilih durian atau nanas sebagai buah kebangsaan

CHAN FOONG HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan supaya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaksanakan bancian di peringkat nasional bagi menentukan buah tempatan yang paling sesuai diangkat sebagai buah kebangsaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, cadangan itu bertujuan mendapatkan pandangan rakyat secara menyeluruh memandangkan Malaysia masih belum mempunyai pengiktirafan rasmi bagi buah kebangsaan seperti beberapa negara lain yang telah menetapkan identiti itu sebagai strategi penjenamaan nasional.

Katanya, KPKM menerima dua permohonan rasmi iaitu daripada Persatuan Pengilang Durian Malaysia (DMA) yang mengusulkan durian sebagai buah kebangsaan serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang mencadangkan nanas.

“Memandangkan terdapat lebih daripada satu cadangan, KPKM berpandangan proses pemilihan perlu dilaksanakan secara objektif dan berasaskan data melalui penglibatan rakyat.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan tadbir urus kerajaan yang berasaskan bukti dan memastikan keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat.

“Sebarang keputusan kerajaan akan dibuat selepas mengambil kira dapatan bancian itu serta pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven berhubung status rasmi penetapan buah kebangsaan.

Menjawab soalan Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mengenai usaha mempercepat transformasi industri nanas negara bagi mencapai sasaran nilai eksport RM2 bilion menjelang 2027, Foong Hin berkata, pelbagai strategi bersepadu sedang dipergiat menerusi LPNM.

Katanya, kementerian menerusi LPNM telah merangka Pelan Strategik Peningkatan Pengeksportan Nanas 2026-2027 yang menggariskan enam strategi utama berasaskan analisis prestasi eksport, trend permintaan pasaran global dan kapasiti bekalan domestik.

“Strategi ini merangkumi pengukuhan eksport ke pasaran utama khususnya China yang kini menyumbang 72 peratus daripada keseluruhan eksport nanas negara dengan permintaan mencecah 150 kontena buah segar sebulan.

“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program padanan perniagaan secara strategik bagi meneroka pasaran baharu seperti New Zealand, mempergiat promosi antarabangsa, menambah bilangan pengeksport baharu serta memantapkan pemantauan bekalan nanas berkualiti eksport,” katanya.

Menurut Foong Hin, LPNM turut bekerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi membangunkan garis panduan eksport khusus untuk memastikan nanas Malaysia memenuhi standard kualiti, keselamatan makanan serta keperluan sanitari dan fitosanitari (SPS) negara pengimport.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN