KUALA TERENGGANU: Kegiatan sebuah pusat kesihatan yang dipercayai menawarkan khidmat urutan badan menggunakan wanita warga asing, terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam operasi khas di Jalan Kampung Dalam, di sini, malam tadi.
Serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu dilakukan selepas beberapa pegawai penguat kuasa JIM menyamar sebagai pelanggan dan mendapati premis berkenaan menggaji wanita warga asing sebagai tukang urut.
Ketika serbuan dilakukan, lebih 10 pelanggan tempatan dilaporkan berada di dalam premis berkenaan dan sedang menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan urutan.
Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan enam wanita warga asing terdiri daripada empat warga China dan dua warga Thailand berusia antara 20 tahun hingga 32 tahun.
Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah selain melanggar syarat pas.
“Semua wanita terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut. Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai pengusaha pusat kesihatan itu turut diberikan notis hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan atas kesalahan melindungi dan menggaji warga asing,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sini, hari ini.
Dalam operasi sama, Mohd Yusri berkata, enam lagi warga asing ditahan menerusi pemeriksaan di dua restoran di Kampung Manir dan sebuah kediaman di Kampung Batu Burok.
“Secara keseluruhan, seramai 76 warga asing telah diperiksa dan 12 daripadanya ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen. Kita turut mengeluarkan empat notis tunjuk sebab kepada warga tempatan yang disyaki melindungi dan menggaji warga asing secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN










