Prosiding pengesahan rujuk Datuk Red, Adira bersambung September ini - Utusan Malaysia

Prosiding pengesahan rujuk Datuk Red, Adira bersambung September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Prosiding pengesahan rujuk yang difailkan usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar terhadap bekas isterinya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi disambung pada 3 September depan.

Hakim Syarie, ‘Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani menetapkan tarikh berkenaan bagi mendengar keterangan lanjut daripada Adira selaku defendan.

Peguam syarie mewakili Adira, Roshdan Sujak Rafie memaklumkan anak guamnya selesai memberi keterangan yang menafikan dakwaan berlaku lafaz rujuk seperti difailkan Adnan selaku plaintif.

Roshdan memaklumkan perbicaraan berkenaan akan disambung pada 3 September ini dengan pihaknya bakal membawa dua orang saksi.

“Keterangan Adira  adalah merujuk kepada penafian keseluruhan dakwaan yang dibuat terhadapnya. Proses tersebut belum selesai dan akan bersambung pada 3 September ini,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, hari ini.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 11 pagi berlarutan hampir dua jam secara tertutup. Adnan atau Datuk Red yang tidak hadir atas urusan peribadi hanya diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan.

Sementara itu, Roshdan memaklumkan Adira akan menyambung keterangannya bagi menyangkal dakwaan berhubung isu rujuk yang dibangkitkan, sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan.

“Adira akan terus memberikan keterangan dan berkemungkinan memanggil saksi. Selepas semua proses itu selesai, barulah mahkamah akan menetapkan tarikh prosiding seterusnya sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menangguhkan prosiding pengesahan lafaz rujuk yang berlangsung pada 23 April kepada 25 Jun lalu yang diteruskan dengan permohonan penarikan balik kes oleh Adnan.

Mahkamah bagaimanapun menolak pemohonan penarikan balik kes pengesahan rujuk yang difailkan Adnan terhadap bekas isterinya itu.

Sebelum ini, Adnan melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh idah selepas perceraian, namun Adira dilaporkan tidak mengesahkan perkara tersebut.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi sebelum ini dilaporkan terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan menegaskan tidak mengetahui mengenai pengesahan lafaz rujuk berkenaan.

Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 9; Asan, 7; Anggun, 6; dan Ayob, 4.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN