Politeknik Ungku Omar bantu tingkat kecekapan industri

Projek akhir pelajar kejuruteraan Politeknik Ungku Omar bantu tingkat kecekapan industri

MUHAMMAD Thalha Hamdan (depan kiri) dan Raihana Salahuddin (kanan) bersama barisan pensyarah Politeknik Ungku Omar (PUO) dan pelajar lain selepas menerima anugerah bagi Projek Tahun Akhir mereka semasa Simposium Inovasi Kejuruteraan dan Teknologi 2026 di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penekanan kepada inovasi dalam pendidikan membolehkan bakat muda dicungkil bagi menghasilkan sistem moden yang meningkatkan produktiviti pekerja dan industri.

Hasrat itu bukan sekadar retorik, malah kini menjadi realiti apabila golongan pelajar sendiri semakin kreatif dan yakin dalam membangunkan sistem yang boleh meningkatkan kecekapan.

Pencapaian itu diraih oleh dua pelajar berusia 24 tahun daripada Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Muhammad Thalha Hamdan dan Raihana Salahuddin.

Raihana Salahuddin bersama pensyarah dan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan) dengan Kepujian di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh.

Muhammad Thalha dan Raihana berjaya meraih pengiktirafan tertinggi dalam Simposium Inovasi Kejuruteraan dan Teknologi 2026 (ETIS 2026) anjuran Pusat Pengajian Siswazah (CGS) PUO.

Hasil kerja mereka berdua berupaya menyumbang kepada pembangunan teknologi dan industri selaras dengan agenda negara untuk membina ekonomi bernilai tinggi.

Muhammad Thalha yang merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (BCT) memenangi Anugerah Best Project Champion menerusi projek bertajuk Development of a Machine Learning Based System for On-Site Image Quality Inspection for Concrete Work di bawah penyeliaan Ir. Ts. Dr. Rufaizal Che Mamat.

 

 

 

Raihana Salahuddin menerangkan berkenaan projek inovasinya kepada pengunjung Simposium Inovasi Kejuruteraan dan Teknologi 2026.

Raihana Salahuddin menerangkan berkenaan projek inovasinya kepada pengunjung Simposium Inovasi Kejuruteraan dan Teknologi 2026.

Raihana yang merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Pengurusan Rantaian Bekalan (BMS), dinobatkan sebagai Pemenang Projek Terbaik (BMS) menerusi projek bertajuk Optimizing the Demagnetization Process of Chip Components to Enhance Productivity di bawah penyeliaan Azmarini Ahmad Nazri.

Muhammad Thalha, berjaya menghasilkan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi pemeriksaan kualiti imej kerja konkrit di tapak bina.

Sistem yang dibangunkan itu berupaya mengesan dan mengenal pasti jenis kecacatan konkrit dalam sektor pembinaan.

Katanya, AI itu dihasilkan ketika dia menjalani latihan industri dan merupakan sebahagian daripada projek tahun akhirnya.

“Idea untuk menghasilkan sistem ini tercetus kerana saya sendiri berdepan kesukaran untuk mengenal pasti jenis kecacatan konkrit.

Muhammad Thalha
Hamdan

 

“Dengan adanya sistem ini, jenis kecacatan (defect) itu dapat dikenal pasti oleh pemain industri atau kontraktor dengan betul sebelum sebarang kerja pembetulan dilakukan,” katanya.

Katanya, AI itu dibangunkan dengan ratusan rekod berkaitan kecacatan konkrit bagi meningkatkan ketepatan sistem pengesanan tersebut.

Muhammad Thalha melihat sistem tersebut berupaya meningkatkan kecekapan industri dengan mengelakkan kelewatan penyiapan projek dan peningkatan kos.

Dia yang berasal daripada Kota Damansara, mengambil bidang kejuruteraan awam selepas kagum dengan pembinaan jaringan transit aliran massa (MRT) di ibu negara sewaktu dia masih bersekolah.

Pelajar itu mengambil aliran bukan sains semasa peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun selepas itu mengikuti bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) di politeknik.

Sementara itu, Raihana berjaya membangunkan satu prosedur operasi standard (SOP) di syarikat tempat dia menjalani latihan industri.

SOP itu didaftarkan oleh syarikat tersebut setelah mendapati idea pelajar wanita itu berjaya meningkatkan kecekapan kerja-kerja pemeriksaan cip dengan mengenyahkan daya magnet yang wujud.

“Sebelum cadangan SOP ini wujud, proses ulangan terpaksa dilakukan beberapa kali untuk memantau kualiti cip ini,” katanya.

Katanya, idea ke arah pembangunan SOP itu turut melibatkan maklum balas daripada operator kilang yang mengendalikan proses pemeriksaan cip.

Prosedur yang dibangunkan pelajar itu membolehkan produktiviti kerja para operator serta kualiti cip ditingkatkan.

Cip yang dikeluarkan itu digunakan oleh pelbagai industri termasuk untuk penghasilan telefon pintar dan komponen kenderaan elektrik.

Sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda, Raihana yang berasal dari Kangar, Perlis merupakan graduan diploma dalam bidang mekanikal.

Kejayaan yang diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar PUO untuk terus berinovasi, menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan mengharumkan nama institusi di peringkat nasional serta antarabangsa.

Sementara itu menurut Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri, ETIS merupakan platform penting dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi serta mencungkil bakat pelajar menghasilkan penyelesaian teknologi yang relevan dengan keperluan industri.

“Tahniah kepada semua pemenang dan pensyarah penyelia atas komitmen serta dedikasi yang telah dicurahkan. Kejayaan ini membuktikan pelajar PUO bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah berupaya menghasilkan inovasi yang mampu memberi nilai tambah kepada industri.

“Pencapaian ini turut menyokong aspirasi PUO ke arah menjadi Politeknik APEX, dengan memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menerajui transformasi teknologi dan memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, PUO akan terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui kerjasama strategik bersama industri serta memperkasakan pembelajaran berasaskan penyelidikan bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya menerusi ETIS’26 juga, kecemerlangan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar politeknik berkenaan ditonjolkan.

Simposium yang menjadi platform tahunan bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi pelajar itu mengiktiraf projek-projek terbaik berdasarkan aspek inovasi, impak, kebolehgunaan serta potensi aplikasi dalam industri.

ETIS’26 menjadi platform tahunan yang menghimpunkan hasil projek tahun akhir pelajar bagi mengetengahkan idea baharu, memperkukuh budaya penyelidikan serta menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri menerusi tema Inspiring Innovation, Connecting Industry, Shaping Future Technologists.

Majlis turut dihadiri barisan pengurusan, pensyarah, penyelia projek dan pelajar, sekali gus mencerminkan komitmen PUO dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik sebagai pemacu aspirasi institusi ke arah Politeknik APEX.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Norman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Fakrul Razi. Jamaluddin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN