PETALING JAYA: Kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) bukan punca utama pendidikan tinggi kepada pelajar tempatan, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi terhad.
Sebaliknya, keadaan itu didakwa berpunca daripada peningkatan mendadak bilangan calon cemerlang tempatan yang layak, sedangkan kapasiti pengambilan bagi beberapa program pengajian popular masih terhad.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohamad Adib Hazim berkata, persaingan sengit tertumpu kepada program berpermintaan tinggi seperti perubatan, farmasi, undang-undang, psikologi, sains komputer serta beberapa bidang profesional lain.
“Apabila lambakan permohonan tertumpu kepada program yang sama, sudah tentu wujud situasi apabila ramai calon yang memenuhi syarat kelayakan minimum tetap tidak memperoleh tempat dalam program pilihan mereka.
“Isu utama di sini adalah kekosongan terhad untuk kursus tertentu, bukannya gambaran keseluruhan bahawa sistem UA sudah menutup pintu kepada anak tempatan,” katanya katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamad Adib berkata, majoriti pelajar antarabangsa di Malaysia mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah, termasuk program sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Jelasnya, situasi tersebut sekali gus membuktikan tidak berlaku persaingan secara langsung antara pelajar antarabangsa dengan lepasan sekolah, matrikulasi mahupun diploma tempatan yang memohon ke program prasiswazah.
“Agenda pengantarabangsaan universiti telah dilaksanakan secara konsisten bagi memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
“Usaha ini mestilah sentiasa diseimbangkan dengan keutamaan untuk memastikan akses pelajar tempatan ke UA terus dipelihara dan diperkasa,” katanya.-UTUSAN










