PRN Negeri Sembilan: Eloklah parti Kancil tak sertai, bubar terus lebih baik - AMK

PRN N. Sembilan: Eloklah parti Kancil tak sertai, bubar terus lebih baik – AMK

MOHD. SHAFIQ IQRAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bersama terbukti gagal mendapat kepercayaan rakyat, malah tidak bersedia menguji kekuatan secara konsisten pada pilihan raya menjadi asas utama parti itu amat relevan untuk dibubarkan.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, kegagalan mendapatkan sokongan rakyat di Johor serta keputusan untuk tidak bertanding di Negeri Sembilan memberi gambaran bahawa parti ini masih gagal membuktikan nilai tambah yang jelas dalam landskap politik negara.

“Rakyat tidak memerlukan sebuah lagi parti yang sekadar menjadi pengulas politik. Rakyat mahukan parti yang sanggup turun ke medan, menghadapi ujian rakyat dan membuktikan keupayaan mereka melalui proses demokrasi.

“Jika sebuah parti gagal mendapat kepercayaan rakyat dan pada masa sama tidak bersedia menguji kekuatan mereka secara konsisten dalam pilihan raya, maka persoalan tentang relevansi parti itu akan timbul dengan sendirinya sama ada mereka perlu dibubarkan atau tidak,” katanya hari ini.

Mohd. Shafiq berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan referendum pertama rakyat terhadap Parti Bersama dan mesej yang diterima amat jelas bahawa rakyat tidak melihat parti tersebut sebagai alternatif yang mampu mencabar parti-parti sedia ada secara serius.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila selepas keputusan yang mengecewakan di Johor, Parti Bersama memilih untuk tidak menyertai PRN Negeri Sembilan.

Katanya, ini menimbulkan persoalan sama ada perjuangan mereka benar-benar berasaskan kepentingan rakyat atau sekadar strategi politik yang memilih medan tertentu sahaja.

“Sebuah parti politik tidak boleh hanya muncul ketika mahu menghantar mesej politik dan menghilang apabila tiba masanya untuk mendapatkan mandat rakyat.

“Demokrasi menuntut konsistensi. Jika Parti Bersama benar-benar yakin dengan perjuangan mereka, medan terbaik untuk membuktikannya adalah melalui pilihan raya, bukannya sekadar komentar dari luar gelanggang,” katanya.

Mohd. Shafiq berkata, jika sebuah parti mendakwa membawa suara rakyat, komitmen itu perlu ditunjukkan secara konsisten di semua medan demokrasi, bukan hanya apabila merasakan peluang kemenangan lebih cerah.

Justeru, katanya, Parti Bersama perlu melakukan muhasabah yang mendalam terhadap hala tuju dan relevansi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN