PRN Negeri Sembilan: BN tidak bergantung kepada kerusi tradisi

PRN Negeri Sembilan: BN tidak bergantung kepada kerusi tradisi

MOHAMAD Hasan ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2026 di Seremban, hari ini. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan berlakunya pertukaran kerusi antara parti komponen bagi meningkatkan peluang kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembahagian kerusi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada tradisi memandangkan komposisi pengundi di banyak kawasan telah berubah.

Menurutnya, keputusan pilihan raya sebelum ini akan dijadikan panduan bagi menilai kekuatan setiap parti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kalau bertambah merosot , mengapa kita nak bagi kepada parti yang sama bertanding di tempat yang sama?.

“Boleh jadi kita buat ‘swap’, boleh jadi kita boleh tukar-tukar kerusi. Tetapi kita cuba untuk melakukan perubahan sebanyak mungkin kepada semua rakan-rakan dalam komponen BN, Insya-Allah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rembau Tahun 2026 di sini, hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, pendekatan mengekalkan pembahagian kerusi secara tradisi tidak semestinya lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Jelas beliau, keputusan itu akan mengambil kira pola peralihan sokongan pengundi berdasarkan keputusan pilihan raya terdahulu.

“Kita mesti memberi pilihan kepada pengundi. Selera pengundi sudah berubah, jadi kita perlu mengikut kehendak mereka, bukan hanya bergantung kepada formula lama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, semua ketua bahagian UMNO telah diminta mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama bagi setiap kerusi untuk dipertimbangkan.

Katanya, senarai calon itu perlu diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa bahagian mengikut perlembagaan parti bagi memastikan proses pemilihan lebih telus serta mengelakkan pertikaian yang boleh membawa kepada sabotaj dalaman.

“Tidak boleh ada sebarang pertelingkahan semasa kita menghadapi pilihan raya. Banyak kerusi kita kalah kerana wujudnya sabotaj dalaman.

“Pihak lawan tidak kuat, tetapi kadang-kadang ada yang calon pilihannya tidak dicalonkan, lalu sanggup memastikan parti sendiri kalah. Sikap seperti itu tidak boleh berlaku kerana akhirnya parti juga yang rugi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN