PRN N9: Tok Mat, satu lawan satu di Rantau

PRN N9: Tok Mat, satu lawan satu di Rantau

MOHAMAD Hasan (kanan) akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Azizul Hakim Mahdi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan berdepan saingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Penyandang kerusi DUN Rantau itu akan dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Azizul Hakim Mahdi yang merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rembau, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, DUN Chembong juga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya dari BN, Datuk Zaifulbahri Idris dengan calon PH, Danish Nazran Murad.

“Dua kerusi DUN lain pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru. Di DUN Paroi, calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin yang merupakan penyandang kerusi itu dicabar oleh calon PH, Ahmad Shahir Mohd. Shah dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Nazree Yunus.

“Di DUN Kota, calon BN, Suhaimi Aini yang merupakan penyandang kerusi itu akan ditentang oleh Allif Ibrahim (PH) dan Akmal Noradzmi Abd. Rahim (Bersatu). Semua kertas pencalonan diterima dan tiada yang ditolak,” katanya selepas proses Penamaan Calon di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau itu menyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan antara 2004 hingga 2018.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO sebelum ini mempertahankan kerusi DUN Rantau pada PRN 2023 selepas memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon PN, Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi dengan majoriti 10,280 undi.

Mengikut rekod terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 143,120 orang di keempat-empat dun tersebut, dengan DUN Paroi merekodkan 64, 998 jumlah pengundi terbesar di Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN