PRN Johor: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

PRN Johor: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus atau 1.8 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.

PRN Johor dilaporkan mempunyai lebih 2.7 juta pemilih dengan 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,849 saluran.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi akan mencapai 70 peratus, lebih tinggi berbanding PRN Johor pada 2022.

Menurut beliau, jangkaan itu didorong oleh peningkatan minat masyarakat untuk terlibat dalam proses demokrasi di Johor.

“Kita melihat ada kecenderungan dan minat untuk mengundi pada kali ini agak tinggi serta kempen-kempen yang berterusan.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh sampai sekitar 70 peratus, saya rasa semangat dalam kalangan rakyat untuk terlibat dalam proses demokrasi agak tinggi akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Permas, Kukup, di sini hari ini.

Beliau hadir bagi melakukan semakan terhadap isi peti undi PRN Johor.

Ramlan berkata, proses semakan peti undi itu amat kritikal dan penting bagi memastikan semua peralatan yang akan digunakan esok berada dalam keadaan lengkap dan teratur.

“Setakat ini saya difahamkan hampir semua pegawai pengurus di 56 pusat di seluruh Johor. Alhamdulilah proses berjalan amat lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, proses mengundi esok akan bermula pada pukul 8 pagi, manakala kebanyakan pusat mengundi akan ditutup pada pukul 5 petang.

“Waktu tutup pusat mengundi ada pelbagai, bergantung kepada lokasi. Ada yang paling awal kita akan tutup di Pulau Besar iaitu 11 pagi, 12 tengah hari pula ada dua tempat iaitu di Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

“Ada 17 pusat mengundi ditutup pada 2 petang, 42 pusat pada 4 petang dan 1,114 pada 6 petang,” katanya.

Beliau berkata, seramai 43,036 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran PRN Johor.

Beliau turut menyeru pengundi pos supaya memulangkan kertas undi masing-masing selewat-lewatnya pukul 6 petang esok.

“Kita keluarkan 24,677 kertas undi pos kepada pegawai-pegawai dan rakyat yang berada di luar negeri. Kertas-kertas tersebut perlu dipulangkang sebelum waktu mengundi tutup iaitu 6 petang esok,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN