PRN Johor: Habis PRN kita kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia - Syed Saddiq

PRN Johor: Habis PRN kita kembali bersatu sebagai rakyat Malaysia – Syed Saddiq

SYED Saddiq bersama ibu bapa dan kakaknya selepas mengundi di Sekolah Taman Sutera pada pukul 1.45 petang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun tiada calon Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, bekas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Syed Saddiq bagaimanapun enggan mengulas kecenderungan kepada mana-mana calon membabitkan Alan Tee daripada Pakatan Harapan (PH), Pannir Selvam (BN) dan Boo Wei Han (Bersama).

“Cuma harapan saya adalah supaya semua pengundi keluar mengundi dan doa saya selepas kita dah menamatkan tanggungjawab itu, dan keputusan dikeluarkan pada malam ini, kita kembali bersatu semula sebagai rakyat Malaysia.

“Kita mengetepikan perbezaan politik dan kepartian, kerana realitinya kita sebagai rakyat Malaysia ini tidak sampai satu peratus daripada populasi dunia

“Kita ada banyak lagi masalah-masalah yang perlu hadapi bersama, mencari solusi bersama, yang penting selepas habis PRN kita kembali sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Syed Saddiq tiba di pusat mengundi Sekolah Taman Sutera pada pukul 1.45 petang bersama ibu bapa dan kakaknya sebelum mengundi di saluran lima.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menyeru lebih ramai rakyat Johor untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, ia masih belum terlambat dan masih ada masa untuk memain peranan memilih calon yang sesuai untuk mentadbir kawasan DUN masing-masing.

“Saya faham kadang-kala kesesakan di jalan raya luar biasa contohnya di bahagian utara Johor khususnya di kawasan saya selain faktor cuaca, hujan sejak pagi tadi.

“Bila hujan dah reda, keluarlah mengundi. Bagi yang sudah mengundi, jangan lupa ingatkan rakan-rakan dan hubungi ahli keluarga untuk tunaikan tanggungjawab itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN