Polis terima 28 laporan kesalahan pilihan raya

Polis terima 28 laporan kesalahan pilihan raya

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menerima sebanyak 28 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sejak 18 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan pilihan raya.

Menurutnya, semalam polis menerima lima laporan dan membuka tiga kertas siasatan.

“Daripada jumlah itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Dua lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, pada masa sama, polis menerima 95 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik semalam, dengan 94 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Secara kumulatif bagi tempoh 18 Julai hingga 25 Julai, sebanyak 440 permohonan permit diterima, dengan 416 permohonan diluluskan.

“Semua program dan aktiviti politik yang diadakan akan terus dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN