SUNGAI PETANI: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan ragut di sekitar daerah Kuala Muda sejak awal bulan ini berakhir apabila dia diberkas polis di Tupah, Bedong, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tangkapan suspek berusia 24 tahun itu dibuat hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan susulan peningkatan kes ragut di daerah berkenaan.
Menurutnya, polis menerima lebih 10 laporan membabitkan kejadian ragut sepanjang Julai sebelum menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengesan suspek.
“Hasil risikan yang dijalankan, kita berjaya menahan suspek yang kemudian mengaku terlibat dalam semua kes ragut berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Menurut beliau, polis turut membuat semakan di beberapa premis pajak gadai selepas menerima laporan daripada mangsa bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek yang berasal dari Yan itu dipercayai menyasarkan warga emas khususnya dalam kalangan kaum India dan Cina kerana mudah melihat barang kemas yang dipakai mangsa.
Tambahnya, suspek negatif dadah dan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. – UTUSAN










