Peragut dipenjara lima tahun

Peragut dipenjara lima tahun

MUHAMMAD Syafi'ei Hasan ketika tiba di Bangunan Mahkamah Klang, Klang, Selangor hari ini-FOTO/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG- Peragut yang meragut seorang wanita di Persiaran Raja Muda Musa, di sini pada 15 April lalu ke atas seorang wanita wanita dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Syafi’ei Hasan, 24, sambil menangis mengaku bersalah melakukan jenayah itu di hadapan Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syafi’ei telah melakukan rompakan dan sengaja melakukan kecederaan ke atas mangsa, Nurain Natasha Ab. Halim, 21, dengan menarik beg silang di Persiaran Raja Muda Musa, berdekatan Sekolah Menengah Perempuan Raja Zarina, di sini pada 15 April lalu, kira-kira pukul 8.50 pagi.

Beg silang tersebut mengandungi sebuah telefon bimbit jenis IPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi, beberapa keping kad bank dan wang tunai RM114 milik mangsa.

Akibat diragut, Nurain Natasha telah mengalami kecederaan di bahagian tangan, lutut dan bahu dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan.

Atas kesalahan itu, tertuduh telah didapati bersalah melakukan jenayah dan dihukum di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Muhammad Syafi’ei faham pertuduhan yang dibaca ke atasnya terus membuat pengakuan bersalah setelah ditanya Hakim.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya menangis meminta mahkamah mengurangkan hukumannya kerana ibu bapanya sudah uzur.

“Ibu saya ada penyakit darah tinggi manakala ayah pula ada sakit gout.

“Saya sudah insaf dan berjanji untuk tidak melakukan jenayah ini lagi,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi meminta Hakim mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan Muhammad Syafi’ei melakukan jenayah ragut dan telah mencederakan Nurain Natasha.

Kata Siti Bahiyah, hukuman berat diberikan ke atas tertuduh dapat memberikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan jenayah tersebut.

Melihat kepada semua pertimbangan, Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh dia ditangkap polis dan sebatan dua kali ke atas tertuduh.

Muhammad Syafi’ei menerima hukuman yang diberikan dan mengucapkan terima kasih kepada Hakim atas hukuman berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×