PN terima keputusan PRN Johor, terus jadi suara rakyat

PN terima keputusan PRN Johor, terus jadi suara rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati terbuka dan penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa jua keputusan yang ditentukan rakyat perlu diterima dengan matang selepas pengundi Johor menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Apa jua keputusan yang telah ditentukan, kita menerimanya dengan hati yang terbuka, penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi.

“Terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan doa yang diberikan,” katanya dalam kenyataan. 

 Ahmad Samsuri turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRN berkenaan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera PN yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.

Katanya, pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan jentera parti menjadi bukti bahawa perjuangan itu digerakkan dengan penuh kesungguhan demi membawa khidmat terbaik kepada rakyat.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus sepanjang kempen.

“Pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan menjadi bukti bahawa perjuangan ini digerakkan dengan penuh kesungguhan demi membawa khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, PN akan terus istiqamah menjadi suara rakyat dengan membawa politik yang matang, berintegriti serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua.

“Terima kasih, Johor. Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada PH.

PN pula gagal memenangi sebarang kerusi di kesemua 33 kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.

Pada PRN kali ini, PN mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 Pas, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN