PN arah penyokong pangkah BN di 25 kerusi

PN arah penyokong pangkah BN di 25 kerusi

TAKIYUDDIN Hassan ketika berucap pada Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi DUN Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan, Tampin, malam tadi. - UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Perikatan Nasional (PN) mengarahkan semua ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua ahli parti dalam gabungan itu perlu mematuhi arahan pucuk pimpinan bagi memastikan persefahaman BN-PN berjaya memperoleh kemenangan sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Katanya, arahan itu melibatkan semua parti komponen gabungan tersebut termasuk Pas.

“Ahli Pas dan ahli parti-parti komponen PN semuanya perlu terikat dengan arahan kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Gelombang Biru dan Majlis Memperkenalkan Calon BN-PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Gemencheh dan Repah di Felda Bukit Rokan di sini malam tadi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas juga mengarahkan ahli parti berkenaan supaya menyokong calon PN dan BN di Gemas, Gemencheh dan Repah termasuk calon MCA.

“Saya sebagai Setiausaha Agung Pas selain Setiausaha Agung PN menyeru, malah mengarahkan semua ahli Pas di Parlimen Tampin keluar mengundi calon BN, Suhaimizan Bizar di Gemencheh, calon PN, Ridzuan Ahmad di Gemas serta calon MCA, Koh Kim Swee di Repah.

“Ini adalah arahan saya sebagai Setiausaha Agung Pas. Ahli Pas wajib keluar mengundi sebagaimana kita diarahkan pada PRN Johor untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan memenangkan calon BN tanpa mengira daripada UMNO, MCA atau MIC,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan persefahaman antara BN dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan telah dicapai pada 14 Julai lalu.

“Inilah kita, PN dan BN, satu barisan yang tidak boleh dipisahkan lagi selama-lamanya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengarahkan ahli dan penyokong gabungan itu mengundi calon PN di 11 kerusi yang tidak ditandingi BN pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan ketetapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengarahkan ahli dan penyokong PN memberikan sokongan kepada calon BN sebagaimana dilaksanakan pada PRN Johor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN