KUANTAN: Trend pembelian dalam talian yang semakin menjadi budaya masyarakat mencetuskan ancaman baharu alam sekitar, apabila jutaan plastik kurier dibuang setiap hari dan berpotensi menjadi ‘bom jangka’ ekologi negara.
Statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan sebanyak 70.6 peratus rakyat menggunakan platform e-dagang bagi mendapatkan barangan pada 2023, meningkat berbanding 70.4 peratus pada 2022 dan 64.7 peratus pada 2021.
Situasi itu memberi kesan nyata terhadap jumlah sisa plastik apabila kebanyakan penghantaran menggunakan plastik kurier, balutan buih (bubble wrap) dan pita pelekat yang sukar dikitar semula.
Pakar sains marin dan alam sekitar, Prof. Dr. Che Abd. Rahim Mohamed berkata, pertumbuhan pesat sektor e-dagang di Malaysia perlu diberi perhatian terutama dalam agenda pengurangan penggunaan plastik negara.
Katanya, sisa pembungkusan daripada aktiviti penghantaran dalam talian kini menjadi penyumbang baharu kepada pencemaran plastik yang akhirnya berakhir di tapak pelupusan atau mengalir ke sungai dan lautan.
“Setiap bungkusan menggunakan bahan plastik berdensiti tinggi, balutan buih dan pita pelekat yang kebanyakannya tidak mempunyai nilai kitar semula. Apabila terurai, ia menghasilkan mikroplastik yang memberi ancaman kepada ekosistem marin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pensyarah Bidang Penyelidikan Oseanografi Kimia, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, budaya buka kotak atau unboxing yang semakin popular di media sosial turut mendorong penggunaan pembungkusan berlebihan apabila penjual mahu menjadikan produk kelihatan lebih menarik.
Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah plastik digunakan meningkat, walaupun barangan yang dihantar bersaiz kecil.
“Jika tidak dikawal, Malaysia boleh berdepan krisis pencemaran plastik berskala besar dalam tempoh kurang sedekad,” katanya.
Che Abd. Rahim berkata, Dasar Sifar Plastik perlu dikaji semula dengan memasukkan sektor e-dagang sebagai antara komponen utama memandangkan perubahan corak penggunaan rakyat banyak bergantung kepada pembelian dalam talian.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh sistem pengurusan sisa plastik bermula daripada pengurangan penggunaan, pengasingan sisa, kemudahan kitar semula sehingga penguatkuasaan terhadap penggunaan plastik sekali guna.
Katanya, laporan Utility Bidder dari United Kingdom (UK) yang meletakkan Malaysia antara negara penyumbang tinggi pencemaran plastik laut perlu dijadikan peringatan supaya tindakan lebih menyeluruh diambil.
“Persoalannya, mengapa Malaysia masih mencatat kadar pencemaran plastik yang tinggi walaupun pelbagai kempen kesedaran dan caj beg plastik dilaksanakan? Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dalam pengurusan sisa secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, antara faktor usaha mengurangkan pencemaran plastik kurang berkesan adalah tahap kesedaran awam yang masih rendah, kadar kitar semula yang tidak memadai, kos alternatif mesra alam yang tinggi serta cabaran penguatkuasaan.
Beliau berkata, majoriti pengguna kurang memahami kesan jangka panjang plastik sekali guna terhadap alam sekitar manakala kemudahan kitar semula sedia ada belum mampu mengendalikan jumlah sisa yang semakin meningkat.
“Alternatif seperti bahan terbiodegradasi pula masih mahal dan menyebabkan pengguna serta peniaga sukar beralih sepenuhnya daripada plastik konvensional,” katanya.
Che Abd. Rahim berkata, isu mikroplastik menjadi perhatian komuniti saintis antarabangsa kerana kesannya terhadap rantaian makanan.
Menurutnya, kajian tempatan mendapati beberapa makanan laut popular seperti ikan, kerang dan sotong di perairan Malaysia disahkan mengandungi zarah mikroplastik.
Katanya, mikroplastik yang berada di laut boleh menyerap bahan kimia berbahaya termasuk logam berat dan bahan toksik sebelum memasuki rantaian makanan manusia.
Jelasnya, ini berikutan ikan tidak dapat membezakan antara makanan semula jadi dengan serpihan plastik kecil yang terapung dalam air, menjadikan apa yang dimakan hidupan laut akhirnya boleh sampai kepada manusia.
“Berdasarkan kajian-kajian domestik mutakhir, makanan laut popular dari Selat Melaka kini dikesan mengandungi zarah mikroplastik yang membimbangkan dalam perutnya.
Antara hidangan yang terjejas, ikan kembung purata 0.043 zarah plastik bagi setiap gram isi, kerang anggaran 1.5 hingga 4.5 zarah plastik bagi setiap gram tisu basah dan sotong anggaran satu hingga tiga zarah plastik bagi setiap ekor,” katanya.
Che Abd. Rahim berkata, pencemaran plastik bukan lagi sekadar isu alam sekitar, sebaliknya berkait rapat dengan keselamatan makanan dan kesihatan generasi akan datang.
Beliau berkata, tindakan menangani masalah itu perlu dilakukan secara bersama antara kerajaan, industri, penyedia platform e-dagang dan pengguna.
“Selagi penggunaan plastik sekali guna tidak dikurangkan dan pengurusan sisa tidak diperkemaskan, selagi itu lautan akan terus menjadi tempat terkumpulnya plastik yang akhirnya berubah menjadi mikroplastik,” katanya. – UTUSAN










