PORT DICKSON: Sasaran Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) parti itu disifatkan ketinggalan berbanding pencapaian direkodkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri pada tahun lalu telah mencapai jumlah pelaburan RM19.1 billion malah dalam tempoh setengah tahun ini hampir RM13 bilion telah diperoleh.
“Ini menunjukkan bahawa RM30 billion itu sebenarnya dalam satu setengah tahun sahaja kami telah selesaikan.
“Kalau itulah tumpuan mereka untuk membangunkan negeri ini, saya rasa kami telah berjaya mengatasi apa yang ingin mereka lakukan.
“Saya rasakan mereka tidak melihat dengan telus tentang sasaran mereka untuk mencapai jumlah pelaburan di negeri ini.
“Sebenarnya, kita tidak boleh lagi dalam tempoh setiap tahun jumlah pelaburan kurang daripada RM10 bilion, itu sasaran kami,” katanya.
Beliau yang merupakan calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi ditemui pemberita selepas berkempen dan menyantuni orang ramai termasuk peniaga di pekan Linggi di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.
Semalam menerusi manifesto yang dilancarkan, BN Negeri Sembilan mahu menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun jika diberikan mandat mentadbir kerajaan negeri selepas PRN Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga Menteri Besar
menambah, sekiranya sasaran pelaburan diletakkan hanya RM30 bilion dalam tempoh lima tahun, ia hanya akan melemahkan sumber hasil kerajaan negeri.
“Sedangkan Negeri Sembilan sekarang telah letakkan RM10 bilion minimum untuk satu tahun, kami telah ubah sasaran iaitu untuk mendapat lebih daripada itu.
‘Jika sekitar RM30 bilion bagi lima tahun, ia hanya akan melemahkan termasuk kehadiran pelabur-pelabur di negeri,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata,
terdapat inisiatif yang mahu dilaksanakan oleh BN didapati sama seperti yang telah dilakukan PH sebelum ini dan akan diteruskan selepas ini.
“Tiada masalah bagi saya, inisiatif itu menunjukkan bahawa mereka melihat kejayaan, contohnya bantuan perubatan seperti tapak fistula, semua itu diikut semula.
“Ia menunjukkan pengiktirafan mereka terhadap apa yang telah kami buat, kami tiada masalah jika mereka mahu buat tetapi lebih penting kami mahu rakyat lihat apa yang kami buat itu diiktiraf BN,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, BN tidak begitu teliti dan tidak mempunyai cita-cita hasil daripada manifesto yang dilancarkan parti itu.
“Mereka ingin mencapai sesuatu yang telah dicapai ataupun menuju sesuatu yang telah dicapai, ia menunjukkan mereka tiada kajian yang betul.
“Kami mempunyai tawaran yang lebih baik dan realistik dan mencabar untuk kami laksanakan. Ini satu benda yang kerajaan mahu lakukan iaitu untuk menawarkan suatu yang ingin kita capai dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN










