PH dakwa retorik ‘penyatuan ummah’ hanya helah politik

PH dakwa retorik ‘penyatuan ummah’ hanya helah politik

Populariti Onn Hafiz
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) mendakwa retorik ‘penyatuan ummah’ yang kembali dibawa oleh Pas menerusi hasrat untuk bergabung dengan UMNO merupakan formula politik lama yang pernah dicuba beberapa kali namun gagal.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak 1981 sering dituduh sebagai pemecah-belah kaum Muslimin, orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Katanya, pada tahun sama juga, Abdul Hadi pernah menuduh UMNO sebagai parti jahiliah, namun kini Presiden Pas itu dilihat seolah-olah melupakan sejarah dengan berhasrat menjalinkan kerjasama bersama UMNO atas nama perpaduan ummah.

“Namun kebelakangan ini, Presiden Pas seolah-olah melupakan sejarah dan berhasrat bergabung dengan UMNO kononnya untuk perpaduan ummah.

“Ini bukan kali pertama usaha sedemikian dibuat untuk menghantui rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sekurang-kurangnya tiga episod sebelum ini pernah berlaku membabitkan usaha sedemikian iaitu pada 1972 apabila Pas menyertai Barisan Nasional (BN).

“Selain itu, pada 2008 apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga dan pada 2018 apabila BN kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia.

“Kesemua tiga detik percubaan ini gagal dengan begitu dahsyat dan akan gagal sekali lagi kerana tabiat yang ditampilkan oleh beberapa pihak parasit politik ini tiada prinsip, miskin maruah, tamak kuasa, dan bakal menghadapi gelagat pengkhianatan apabila nafsu politik tidak tercapai,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, sekiranya benar konsep penyatuan ummah mampu menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri yang ditadbir gabungan berkenaan sepatutnya sudah menikmati kehidupan jauh lebih selesa serta mempunyai pendapatan lebih tinggi.

Katanya, keseluruhan 32 wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu adalah daripada Perikatan Nasional (PN), manakala 44 daripada 45 wakil rakyat di Kelantan mewakili gabungan PN-BN.

“33 daripada 36 wakil DUN Kedah pula datang daripada PN, manakala Perlis hanya mempunyai seorang wakil pembangkang.

“Kalau betul ‘penyatuan ummah’ boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri-negeri tersebut sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa dan mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai dan Doha.

“Johor dengan 10 Timbalan Exco sepatutnya sudah menjadi Shenzhen Asia Tenggara,” katanya.

Sebaliknya, Amirudin berkata, rakyat di negeri-negeri tersebut memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan lebih selesa di negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Beliau turut mengingatkan BN supaya menyedari hakikat bahawa parti itu didakwa bakal ditelan oleh PN sekiranya terus bekerjasama dengan gabungan berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN