Petronas lanjut perjanjian bekalan LNG kepada Hokuriku Electric - Utusan Malaysia

Petronas lanjut perjanjian bekalan LNG kepada Hokuriku Electric

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (dua dari kiri) bersama Datuk Adif Zulkifli (tiga dari kiri) dan Koji Matsuda (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. (PLL) menandatangani perjanjian prinsip (HOA) dengan Hokuriku Electric Power Company (Hokuriku Electric) bagi rundingan dan memuktamadkan pembaharuan perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang.

HOA itu menandakan satu lagi pencapaian dalam hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara Petronas dan Hokuriku Electric, sekali gus mencerminkan keyakinan bersama serta mengukuhkan kepercayaan, kebolehpercayaan dan kepentingan strategik hubungan kedua-dua syarikat.

Di bawah HOA berkenaan, PLL dijangka terus membekalkan sehingga 0.54 juta tan metrik setahun (MTPA) LNG kepada Hokuriku Electric bagi tempoh 10 tahun bermula 2028.

Perjanjian itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2026 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas LNG Ltd., Rosdi Ab Rahman dan Presiden Hokuriku Electric, Koji Matsuda.

Pada hari sama, Petronas dan Hokuriku Electric turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam inisiatif berkecuali karbon.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, HOA ini mencerminkan kepercayaan dan kerjasama kukuh yang telah dipupuk antara kedua-dua syarikat selama ini.

“Sebagai pembekal tunggal LNG kepada Hokuriku Electric, Petronas kekal komited untuk terus menyediakan bekalan LNG yang boleh dipercayai sambil menyokong keselamatan tenaga, daya tahan operasi dan perjalanan peralihan tenaga Hokuriku Electric.

“Selain LNG, MoU mengenai kerjasama berkecuali karbon ini menegaskan aspirasi bersama kami untuk meneroka peluang baharu yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.

MoU itu mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua pihak untuk membangunkan rantaian bekalan LNG yang lebih berdaya tahan, meneroka bahan api generasi baharu termasuk hidrogen dan ammonia.

Ia juga melibatkan tenaga boleh baharu serta teknologi penyahkarbonan seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Gabungan HOA dan MoU itu menandakan kesinambungan serta peluasan kerjasama yang melangkaui bekalan LNG, berteraskan kebolehpercayaan bekalan, kerjasama operasi dan kepercayaan bersama, di samping memperkukuh komitmen kedua-dua syarikat dalam mempercepat peralihan ke arah masa depan rendah karbon.

Sejak perjanjian jual beli LNG sedia ada bermula pada 2018, PLL menjadi pembekal tunggal LNG kepada Hokuriku Electric bagi menyokong operasi loji jana kuasa berasaskan LNG milik syarikat itu di Stesen Janakuasa Terma Toyama-Shinko.

HOA berkenaan bertujuan memastikan kesinambungan bekalan selepas tamat tempoh kontrak semasa, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Petronas sebagai rakan pembekal LNG jangka panjang yang dipercayai oleh pembeli di Jepun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN