HULU TERENGGANU: Persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanya melibatkan negeri itu dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik di negeri lain akan diputuskan selepas dibincangkan bersama kepemimpinan tertinggi parti itu dan bukannya ditentukan secara bersendirian.
“Setakat hari ini, kerjasama itu hanya di Negeri Sembilan. Bagi negeri-negeri lain, kita akan berbincang terlebih dahulu dan keputusan tidak dibuat oleh seorang individu, sebaliknya diputuskan secara bersama oleh kepemimpinan tertinggi parti.
“Di Negeri Sembilan, keadaan memerlukan kita bekerjasama. Dalam politik kita perlu bijak membuat pertimbangan dan ada masanya perlu berkongsi demi mencapai matlamat yang lebih besar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, landskap politik sentiasa berubah dan dinamik, justeru itu pendekatan yang diambil sesebuah parti tidak semestinya sama bagi setiap negeri.
“Politik ini berubah-ubah. Tidak semestinya apa yang berlaku hari ini kekal lima tahun akan datang. Kalau kita lihat sekarang pun, pendekatan politik berbeza mengikut negeri. Di Johor pendekatannya berbez manakala di Negeri Sembilan pula pendekatan yang diambil tidak sama,” katanya.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ketika ini adalah UMNO terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dengan mendekati rakyat khususnya golongan muda bagi mengembalikan keyakinan terhadap parti itu.
“Kita perlu terus bekerja, mendekati rakyat dan anak-anak muda serta memberikan harapan kepada mereka supaya UMNO kembali mendapat sokongan yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN










