SEREMBAN: Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada masa depan bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak dalam mencari titik persamaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap parti politik mempunyai ideologi dan pendekatan tersendiri yang menyebabkan wujudnya perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara.
Menurutnya, bagaimanapun sekiranya terdapat ruang untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan di kawasan atau negeri tertentu, perkara itu boleh dipertimbangkan.
“Dalam politik ini, setiap parti politik ada ideologi masing-masing. Jadi selalunya kalau kita berbeza pandangan ini kerana ideologi kita sangat berbeza.
“Kalau masing-masing boleh berdamai (reconcile) dan ada kawasan-kawasan, ada negeri-negeri yang mereka boleh bertanding bersama, itu terpulang,” katanya ditemui selepas mengiringi Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Perdana Tampin sempena proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Johari berkata, bagaimanapun keputusan akhir dalam menentukan kepimpinan tetap berada di tangan rakyat menerusi proses demokrasi.
“Sebenarnya akhirnya bukan pemimpin yang memilih, rakyat yang memilih. Jadi rakyatlah membuat keputusan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari berkata, BN akan memastikan dua calon yang diketengahkan parti itu iaitu Suhaimizan Bizar (UMNO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, manakala Koh Kim Swee (MCA) bagi kerusi DUN Repah menjalankan kempen secara sihat sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
Beliau berkata, proses pilihan raya adalah ruang untuk rakyat memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan serta membantu masyarakat di kawasan masing-masing.
Katanya, jentera BN akan digerakkan bagi mendekati pengundi di kedua-dua kawasan terbabit dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi.
“Dua calon BN ini adalah calon yang mempunyai rekod yang sangat baik. Suhaimizan pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini dan dia mahu meneruskan kerja-kerja yang baik.
“Koh Kim Swee pula merupakan pemimpin dalam masyarakat Cina yang saya lihat mempunyai pendekatan berbeza dalam mendekati masyarakat dan kawasan mereka,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap kempen sepanjang tempoh berkenaan berlangsung dalam suasana harmoni dengan mengutamakan amalan demokrasi serta menghormati proses pemilihan pemimpin di peringkat negeri. – UTUSAN










