KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat berani menyumbangkan RM1 juta kepada parti Bersatu kerana mempercayai bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berperanan membantu syarikat mendapat projek kerajaan di bawah program Jana Wibawa bernilai RM141 juta.
Pengarah syarikat Metrasys Sdn. Bhd., Lian Tan Chuan, 55, berkata, jika bukan kerana Muhyiddin yang juga Presiden parti berkenaan, kemungkinan satu lagi syarikat miliknya, Nepturis Sdn. Bhd. tidak akan lepas penilaian oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak menyokong surat permohonan berkenaan, saya percaya permohonan saya tidak akan sampai ke MOF untuk diproses dan dinilai,” katanya.
Tambah saksi pendakwaan ke-21, beliau membuat sumbangan RM1 juta atas permintaan ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.
“Semasa memohon projek IPD Klang (Ibu Pejabat Polis Daerah Klang) ini saya telah menggunakan bantuan Adam (bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad) untuk mendapatkan minit sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin bagi permohonan projek oleh syarikat saya,” katanya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sewaktu pemeriksaan utama, mengapa Tan Chuan berani menyumbangkan RM1 juta, saksi itu menjawab, “Saya sudah kira untung.”
Ditanya lanjut mengapa beliau membuat sumbangan itu sedangkan belum menerima Surat Setuju Terima (SST), Tan Chuan berkata, “Saya sudah berjanji dengan Datuk Azman.”
Saksi itu turut memberitahu ia merupakan pertama kali syarikatnya membuat sumbangan kepada sebuah parti politik.
Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff dan tiga syarikat antaranya Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.
Dalam keterangannya, Tan Chuan berkata, Azman yang juga Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera memberitahunya bahawa syarikat yang ingin memohon projek di bawah Program Jana Wibawa perlu mendapat sokongan daripada Perdana Menteri.
Ujarnya, perkara itu dinyatakan Azman ketika berjumpa dengannya untuk bertanya mengenai peluang projek kerajaan ketika negara dilanda Covid-19 pada pertengahan tahun 2020.
“Saya bertanya kepada Datuk Azman kerana beliau salah seorang Ahli Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Datuk Azman ada beritahu, kerajaan meluluskan satu program iaitu Program Jana Wibawa.
“Saya memaklumkan minat saya untuk mendapatkan projek di bawah program itu kerana saya juga ada syarikat pembinaan bertaraf bumiputera iaitu Nepturis yang diuruskan rakan kongsi saya iaitu Rizman (Mohd Rizman Akum Khan) dan Aliza (Aliza Abd Malek, saksi pendakwaan ke-13),” katanya.
Azman kemudian memaklumkan pada sakti itu bahawa Adam Radlan adalah kawan rapat yang juga rakan golf kepada Muhyiddin dan boleh membantu untuk mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Jelas Tan Chuan, pada pertemuan dengan Adam Radlan di Publika, di sini yang diaturkan Azman pada Disember 2020, Adam Radlan memberitahunya bahawa dia (Adam) mempunyai hubungan rapat dengan Muhyiddin dan boleh membantu syarikatnya mendapatkan projek.
Katanya, Adam Radlan kemudian memintanya menyediakan surat permohonan dan profil syarikat kepada Muhyiddin iaitu Pejabat Perdana Menteri bagi menjalankan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor secara pra kelayakan, untuk urusan minit sokongan daripada Muhyiddin.
Saksi itu berkata, selepas surat berkenaan dihantar, Adam Radlan memaklumkan bahawa Muhyiddin telah minitkan sokongan kepada surat permohonan syarikatnya.
“Saya percaya syarikat berpeluang besar mendapatkan projek itu, kerana biasanya apabila surat permohonan disokong oleh Perdana Menteri, kementerian dan agensi lain akan memproses permohonan itu melalui penilaian dan perolehan mengikut tatacara Pra-Kelayakan.
“Azman meminta saya untuk membuat sumbangan RM1 juta terus dibayar kepada akaun Bersatu sekiranya syarikat saya berjaya dianugerahkan projek IPD Klang kerana Adam telah meminta sokongan daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.
“Saya menyatakan persetujuan untuk memberikan sumbangan kepada kepada Bersatu sekiranya syarikat saya dianugerahkan projek IPD Klang Utara,” katanya.
Tan Chuan berkata, pada 12 Januari 2022, Nepturis memenangi tender Pra- kelayakan bagi projek IPD Klang Utara dan JKR telah mengeluarkan SST.
Katanya, pada 16 Januari 2022, beliau meminta Rizman untuk menyediakan cek daripada Nepturis berjumlah RM1 juta untuk dibayar kepada Bersatu dan pada hari sama, beliau menyerahkan cek itu kepada Azman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.-UTUSAN










