Pengundi Johor jangan ulangi kesilapan lalu - Ahmad Zahid

Pengundi Johor jangan ulangi kesilapan lalu – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABIS: Pengundi di negeri Johor diingatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan ketika mengundi bagi mengelakkan kesilapan berulang dengan memilih gabungan yang tidak tepat dalam pilihan raya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman lalu menunjukkan Johor pernah melalui fasa perubahan kepimpinan apabila berlaku pertukaran Menteri Besar beberapa kali akibat keputusan pilihan raya.

Katanya, keadaan tersebut berlaku ekoran keputusan sebahagian pengundi yang memilih gabungan politik yang akhirnya tidak mampu membentuk kerajaan negeri yang stabil.

“Tuan-tuan dan puan-puan, pada 11 hari bulan ini kita akan mengundi. Dahulu, orang Johor pernah melakukan kesilapan sekali.

“Apabila memilih pihak lain, berlaku beberapa kali pertukaran Menteri Besar, sehingga tiga kali. Akhirnya, hasilnya ke laut,” katanya pada akhbar selepas merasmikan Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Negeri Johor di Dataran Labis, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Tan Chong dan calon BN DUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, selepas BN kembali mentadbir negeri menerusi kepimpinan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, ekonomi Johor menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, momentum pertumbuhan itu kemudiannya diteruskan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilihat mengekalkan usaha memperkukuh prestasi ekonomi negeri tersebut.

“Maka peningkatan ekonomi Johor disebabkan negeri itu berjiran dengan Singapura dan bukannya disebabkan kepimpinan diterajui Hasni dan Onn Hafiz adalah salah.

“Banyak pihak mengatakan Johor maju kerana kedudukannya yang berhampiran Singapura. Namun, sejak dahulu lagi Johor sememangnya berjiran dengan Singapura, jadi itu bukan perkara baharu.

“Kalau begitu, kenapa dahulu tidak berlaku perkembangan seperti sekarang, sedangkan kedudukan geografi masih sama?

“Itu memperlihatkan kerajaan BN di bawah Onn Hafiz adalah kerajaan yang baik, kerajaan yang lebih terjamin, stabil serta kerajaan yang boleh disokong oleh orang Johor,” katanya.

Beliau turut memuji semangat kesungguhan yang ditampilkan oleh Onn Hafiz sehingga menyaksikan peningkatan hasil Johor dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Hasil negeri yang dikutip pada tahun 2024 mencecah RM1.8 bilion, hasil usaha bersama Menteri Besar serta pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

“Pada tahun 2025, kutipan hasil meningkat kepada RM2.26 bilion, dan peningkatan ini berlaku kerana beliau bekerja dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan dalam mentadbir negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN