TAIPING: Lebih 100 nelayan di Kampung Dew di sini terjejas sumber pendapatan mereka selepas Sungai Sepetang dipercayai tercemar akibat tumpahan pati sisa daripada kolam takungan sebuah kilang kelapa sawit yang pecah sejak dua minggu lalu.
Pengerusi Komuniti Perikanan (MyKP) Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, insiden berkenaan menyebabkan air sungai bertukar kehitaman, berbau selain mengakibatkan kematian ikan lebih dua tan.
Menurutnya, kejadian itu juga menjejaskan kehidupan nelayan serta industri pelancongan berasaskan kelip-kelip dan aktiviti memancing udang galah di kawasan berkenaan.
“Kami menerima maklumat mengenai pencemaran ini pada Ahad lalu sebelum melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati kolam takungan air sisa sebuah kilang kelapa sawit dipercayai pecah menyebabkan pati sisa berwarna hitam mengalir ke Sungai Sepetang” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Kelip -Kelip Kampung Dew di sini hari ini.
Menurutnya, kira-kira 100 nelayan menerima kesan paling serius apabila tidak lagi dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang.
Katanya, sebelum kejadian, nelayan mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM200 sehari, tetapi kini mereka terpaksa bergerak lebih jauh ke kawasan muara bagi mencari hasil tangkapan yang semakin berkurangan.
“Kos operasi termasuk minyak semakin meningkat, sedangkan hasil yang diperoleh tidak berbaloi. Keadaan ini memberi tekanan kepada nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai sumber pendapatan,” katanya.
Tambahnya, nelayan terpaksa menghentikan sementara aktiviti membawa pemancing udang galah kerana keadaan sungai yang masih terjejas.
Katanya, pihaknya menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua kolam takungan sisa kilang kelapa sawit bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
“Laporan sudah dibuat kepada JAS dan pihak jabatan memaklumkan siasatan sedang dijalankan, selain kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah, “katanya. – UTUSAN










