UPM cemerlang dapat penghargaan Naib Canselor

Pelajar UPM pamer kecemerlangan mendapat penghargaan Majlis Anugerah Naib Canselor

Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah (tengah) bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu (tiga dari kiri) pada Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM 2026 di Bangi. baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecemerlangan dalam kepimpinan, keusahawanan serta komitmen memperkasa kebajikan mahasiswa mengangkat Lailatul Akmal Awiss Juharin, pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa 2026 pada Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) UPM, baru-baru ini.

Anugerah Tokoh Siswa, yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Utama Naib Canselor, merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada mahasiswa yang menyerlah bukan sahaja dalam akademik, malah kepimpinan, sahsiah, kokurikulum serta sumbangan kepada universiti dan masyarakat.

Lailatul Akmal Awiss menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kepada semua insan yang sentiasa menyokong perjalanan hidup serta perjuangannya sepanjang bergelar mahasiswa.

“Saya tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UPM kerana percaya masih ramai mahasiswa lain yang turut memberikan sumbangan besar kepada universiti dan masyarakat.

“Anugerah ini bukan sekadar satu penghargaan kepada diri sendiri, tetapi juga pengiktirafan kepada semua individu yang sentiasa menyokong perjalanan saya termasuk keluarga, pensyarah, pihak universiti, rakan-rakan serta seluruh pasukan Warung Yamal,” katanya yang turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Putra.

Pengalaman sebagai penerima bantuan asnaf menjadi titik tolak kepada usahanya menubuhkan Warung Yamal, yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa, malah melaksanakan pelbagai program keusahawanan dan inisiatif kebajikan.

 

 

“Saya percaya kejayaan ini lahir daripada gabungan istiqamah, keberanian untuk bermula dan keinginan untuk sentiasa memberi manfaat kepada orang lain. Jika suatu ketika dahulu saya merupakan penerima bantuan di universiti ini, hari ini saya bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali menyumbang kepada mahasiswa dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penerima anugerah yang diraikan diharap dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, di samping menghayati nilai-nilai murni yang diterapkan universiti.

Beliau berkata, kejayaan yang dikecapi tidak seharusnya menjadikan seseorang berbangga diri, sebaliknya mahasiswa perlu sentiasa mempamerkan kematangan dalam setiap tindakan serta memelihara integriti, adab dan akhlak demi memastikan kecemerlangan serta nama baik universiti terus kekal.

“Kejayaan yang dikecapi tidak wajar digunakan untuk mendabik dada. Ibarat resam padi, semakin berisi semakin tunduk. Teruslah belajar, menerima nasihat dan memperbaiki diri,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Anugerah Naib Canselor UPM 2026 turut menyaksikan pengenalan Anugerah Jiwa Putra buat julung kalinya, selain meraikan kejayaan Nurul Hadfina Afande seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang turut menerima pengiktirafan dalam Anugerah Inklusif Putra, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam menghargai kecemerlangan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN