KANGAR: Seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun maut dalam nahas membabitkan empat motosikal di Jalan Changloon-Kuala Perlis berhampiran Kampung Banat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya tersebut kira-kira pukul 2.10 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati keempat-empat remaja terbabit sedang menunggang motosikal dari arah Arau menghala ke Kangar.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, keempat-empat mereka telah bergesel sesama sendiri lalu menyebabkan pelanggaran berlaku,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, ekoran kemalangan itu, mangsa terlibat telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ekoran kecederaan di bahagian kepala.
Katanya, remaja lain yang cedera dalam kejadian itu masing-masing berusia 20 tahun turut dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa pertama dan kedua hanya mengalami cedera ringan manakala mangsa ketiga pula hancur betis pada bahagian kiri,” katanya.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa terlibat berlumba dalam kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN










