PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan seramai 10 saksi bagi membantu siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM200 juta (AS$35 juta) oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kesemua saksi yang dipanggil pada Selasa hingga semalam terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan yang terlibat dalam proses membuat keputusan.
Katanya, keterangan rakaman percakapan mereka telah dimuktamadkan sebagai sebahagian daripada siasatan di peringkat awal.
“Pada 20 Julai lalu, pasukan penyiasat hadir ke premis KWAP bagi memulakan siasatan serta mendapatkan dokumen berkaitan pelaburan berkenaan.
“SPRM kini sedang mengkaji keterangan yang diperoleh selain meneliti pelbagai dokumen penting berkaitan pelaburan tersebut.
“Antara dokumen yang sedang diberikan penelitian ialah Kertas Cadangan Awal, Kertas Cadangan Akhir, Laporan Site Visit, minit mesyuarat berkaitan eFishery, Laporan Due Diligence, dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim, SPRM turut menjalankan pengesanan aliran kewangan menerusi laporan Cash Transaction Report (CTR) dan Suspicious Transaction Report (STR) bagi mengenal pasti sebarang transaksi yang mempunyai kaitan dengan siasatan.
Ujarnya, siasatan yang dijalankan adalah secara menyeluruh meliputi unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Dalam masa sama, SPRM turut memberi fokus kepada aspek tadbir urus termasuk pematuhan prosedur kewangan, perundangan dan proses membuat keputusan dalam pelaburan KWAP ke dalam eFishery,” katanya.
Menurutnya, lebih ramai individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan serta semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terbabit dalam proses kelulusan pelaburan berkenaan.
“Beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti bagi membantu siasatan.
“Sehubungan itu, SPRM akan mengemukakan permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara, termasuk memperoleh keterangan daripada saksi yang berkaitan,” katanya.
Tegasnya, siasatan masih berada pada peringkat awal dan memerlukan masa memandangkan ia melibatkan penelitian terhadap pelbagai aspek termasuk unsur jenayah rasuah dan isu tadbir urus.
“Saya telah mengarahkan pasukan siasatan menjalankan siasatan secara terperinci, telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan tiada sebarang aspek atau bukti yang terlepas daripada penelitian,” katanya.
18 Julai lalu, media melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM163 juta oleh KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.– UTUSAN










