KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan lebih banyak syarikat peranti perubatan dan teknologi kesihatan dari China untuk melabur serta menjalin kerjasama strategik bersama syarikat tempatan dalam memacu era penjagaan kesihatan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, langkah itu penting bagi menaik taraf industri peranti perubatan negara, sekali gus beralih daripada sekadar pasaran pengguna kepada rakan kongsi bernilai tinggi.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai ekosistem dan syarat asas yang sangat matang memandangkan negara kini merupakan hab pembuatan serta eksport peranti perubatan kelima terbesar di dunia.
“Penjagaan kesihatan pintar kini sudah memasuki era AI, jadi industri kita perlu dinaik taraf. Kemudahan dan peralatan perubatan China telah mencapai tahap yang sangat maju.
“Sebab itu jika Malaysia mahu menaik taraf industri ini, kita perlu mencari lebih banyak rakan kerjasama. Kita mengalu-alukan syarikat China untuk datang ke Malaysia dan bekerjasama dengan syarikat tempatan, bukan sahaja memperlakukan Malaysia sebagai pasaran, tetapi sebagai rakan kongsi yang mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Penjagaan Kesihatan Pintar ASEAN: Forum Inovasi dan Pelaburan China-Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja, eksport peralatan optik, teknikal dan perubatan Malaysia mencatatkan nilai melebihi US$12.5 bilion (kira-kira RM55 bilion) yang merangkumi instrumen pembedahan bernilai tinggi, peralatan diagnostik dan bahan guna habis perubatan termaju.
Sehubungan itu, katanya, di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kerajaan menggalakkan syarikat perubatan China mendirikan operasi pembuatan reka bentuk bersama (R&D), pusat ujian klinikal serta hub perkhidmatan serantau di Malaysia.
“Bagi menyokong pelaburan berkenaan, kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menawarkan pelbagai insentif termasuk Status Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sehingga 100 peratus selama 10 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan (ITA).
“Syarikat China membawa modal, teknologi termaju dan keupayaan operasi, manakala Malaysia menawarkan kestabilan, tenaga kerja mahir dwibahasa dan akses tanpa tarif ke pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta penduduk,” katanya. –UTUSAN










