PDRM cadang hukuman pemandu mabuk dinilai semula

PDRM cadang hukuman pemandu mabuk dinilai semula

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali pada sidang akhbar Prestasi Op Mabuk bagi Tempoh Januari-Jun 2026, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman terhadap pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol perlu dinilai semula berikutan masih ramai tidak serik dan tidak takut untuk mengulangi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk. 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Katanya, cadangan itu akan dilakukan dibuat kerana masih ramai individu didapati mengulangi kesalahan sama walaupun operasi penguatkuasaan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kita nampak kemalangan berlaku banyak, jadi kita tingkatkan lagi operasi. Bila kita tingkatkan operasi, kita jumpa banyak lagi orang yang masih tidak sedar.

“Kita akan cadangkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti semula hukuman ini kerana orang tidak serik dan orang tidak takut,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. 

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang tidak bersalah menjadi pihak paling berisiko menjadi mangsa akibat tindakan individu yang memandu ketika mabuk atau di bawah pengaruh dadah.

Dalam perkembangan sama, Muhammed Hasbullah berkata, JSPT sedang membangunkan sistem data bagi merekodkan kesalahan trafik berulang termasuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Mabuk.

Katanya, pembangunan sistem itu bertujuan membolehkan pihaknya mengesan rekod pesalah trafik sama ada membabitkan kesalahan pertama, kedua atau ketiga.

“Pihak JSPT tengah membangunkan sistem data mengenai rekod kesalahan berulang ini. Setakat ini, hanya pihak mahkamah yang menyimpan rekod.

“Sistem data baharu itu akan digunakan untuk mengesan sama ada seseorang melakukan kesalahan pertama, kedua atau ketiga. Namun rekod itu adalah kesalahan dalam lingkungan undang-undang kita,” katanya.

Menurut beliau, sistem berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki individu yang pernah ditahan atau dikenakan tindakan atas kesalahan trafik sebelum ini.

“Kita berdepan masalah kerana kesalahan trafik sebelum ini belum dapat direkodkan secara menyeluruh.

“Sebab itu kita cadang bangunkan sistem baharu supaya kita boleh semak rekod seseorang, termasuk berapa kali dia pernah ditahan dan mengulangi kesalahan sama,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN