PETALING JAYA: Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) digesa keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan bertanding menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kedua-dua parti itu juga dialu-alukan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) selepas mengkhianati PN semasa PRN Johor.
Beliau malah kesal dengan sikap Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang belum memuktamadkan mengenai rundingan kerusi bagi PRN yang bakal bermula Sabtu ini.
“Sikap Pengerusi PN masih tidak berubah. Mesyuarat persiapan tidak dipanggil. Rundingan kerusi juga sampai sekarang belum dimuktamadkan.
“Lebih teruk lagi, pemimpin Pas mengaku tanpa rasa bersalah yang mereka telah berunding secara senyap-senyap dengan BN dengan membelakangkan parti-parti komponen lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Bersatu difahamkan akan menggunakan logo sendiri bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau juga kecewa dengan strategi songsang Pas yang memasuki gelanggang PRN Johor hanya untuk menempah kekalahan dan memberi kemenangan mudah kepada BN.
“Semasa PRN Johor, kepemimpinan Pengerusi PN amat lemah dan tidak bertanggungjawab. Mesyuarat persiapan pilihan raya PN lambat dipanggil, dana PRN juga tidak disediakan untuk parti-parti anggota. Beliau juga seolah-olah ghaib dalam kempen PRN Johor,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu sentiasa percaya dengan kekuatan parti gabungan yang menjadi tunjang kepada penubuhan PN.
“Itu asas kenapa Tan Sri Muhyiddin Yassin menggagaskan penubuhan PN dan Ikatan Prihatin Rakyat.
“Penubuhan PN sebagai sebuah gabungan politik merupakan cetusan idea Muhyiddin dan ia didaftarkan dan disokong oleh Bersatu sehingga PRU15.
“Perlembagaan dan logo PN dirangka oleh Bersatu. Sehingga hari ini, Bersatu kekal setia kepada PN serta komited mempertahankan jenama dan perjuangan gabungan itu,” katanya.-UTUSAN










